Anda di sini

Dua kes terbaharu disyaki rabies di Sarawak

Advertisement
 


KUCHING: Dua kes terbaharu disyaki rabies dalam kalangan manusia di Sarawak dilaporkan hari ini, melibatkan dua lelaki warga emas yang tinggal di bandar raya ini. 

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Dr Noor Hisham Abdullah, seorang lelaki, 74 telah meninggal dunia pada Jumaat sementara seorang lagi, 64, masih menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak.

"Kedua-dua kes disyaki rabies ini masih menunggu pengesahan ujian makmal. Spesimen klinikal telah dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan sedang diproses," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Dr Noor Hisham berkata, warga emas yang meninggal dunia itu pernah mendapatkan rawatan di klinik swasta pada 24 November apabila mengalami sakit di bahagian kiri badan.

Pada keesokan harinya, beliau dihantar ke HUS untuk rawatan lanjut kerana keadaannya bertambah teruk sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada 28 November 2018.

"Beliau telah meninggal dunia pada 7 Disember 2018 pukul 3:15 pagi dengan penyebab kematian sebagai klinikal rabies," katanya sambil menambah siasatan mendapati pesakit tidak mempunyai sejarah digigit oleh haiwan. 

Beliau bagaimanapun membela seekor anjing dan seekor kucing yang diberi vaksin anti-rabies pada tahun 2018 ini dan haiwan-haiwan tersebut kelihatan normal dan tidak menunjukkan sebarang gejala penyakit rabies.

Mengenai pesakit yang berusia 64 tahun, Dr Noor Hisham berkata beliau digigit di betis oleh seekor anak anjing yang juga menggigit isterinya di ibu jari pada September lalu, iaitu seminggu selepas pasangan suami isteri berkenaan memungut dan memelihara haiwan berkenaan.

Katanya, anak anjing itu kemudian dilepaskan di kawasan Matang dan status terkininya tidak diketahui. 

"Selepas digigit, pesakit hanya mencuci luka gigitan tersebut dan tidak mendapatkan sebarang rawatan di fasiliti kesihatan. 

"Pada 27 November 2018, pesakit mengalami sakit lutut serta lemah pada anggota bawah badan dan telah mendapatkan rawatan di klinik swasta," katanya sambil menambah lelaki itu tidak memaklumkan bahawa dirinya pernah digigit anjing kepada pengamal perubatan swasta yang merawat. 

Pada 2 Disember 2018, beliau mendapatkan rawatan di HUS apabila keadaannya tidak bertambah baik. 

"Pesakit dimasukkan ke wad di mana beliau menunjukkan gejala kekeliruan dan dipindahkan ke Wad Penyakit Berjangkit untuk pemerhatian lanjut," katanya sambil menambah isteri beliau tidak mengalami sebarang gejala dan vaksin anti-rabies telah mula diberikan.

Sejak 30 Jun 2017 sehingga hari ini, jumlah kes yang disahkan rabies di kalangan manusia di Sarawak adalah 14 orang termasuk 13 kematian dan satu kes dirawat di rumah dengan komplikasi neurologi.

Sehingga 7 Disember 2018, Kerajaan Sarawak mengisytiharkan 56 buah kawasan di 11 Bahagian di Sarawak sebagai kawasan jangkitan rabies. 

Hanya Limbang sahaja yang masih bebas rabies di kalangan haiwan.

 
Advertisement