Anda di sini

Chong Wei kembali ke gelanggang Januari 2019

Advertisement
Chong Wei ketika sidang media selepas majlis penajaan dan pembaharuan kontrak bersama 100 Plus hari ini. - Gambar Bernama
Chong Wei ketika sidang media selepas majlis penajaan dan pembaharuan kontrak bersama 100 Plus hari ini. - Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Jaguh perseorangan badminton negara Datuk Lee Chong Wei akhirnya mengumumkan bakal kembali turun ke gelanggang pada Januari tahun depan.

Beliau yang kini dalam tempoh berehat selepas disahkan pulih daripada penyakit barah hidung tahap satu sejak Julai lepas, mengakui masih perlu menjalani proses pemulihan di Taiwan.

Pemain berusia 36 tahun itu bagaimanapun berkata waktu tepat untuk beliau kembali memulakan latihan bergantung kepada keputusan doktor.

“Untuk saya kembali bulan ini mungkin tidak kerana saya kena pergi ke Taiwan. Paling cepat saya akan kembali adalah pada Januari depan.

“Setakat ini semuanya termasuk proses pemulihan saya berada dalam keadaan baik. Apa yang penting saya sering berhubung dengan doktor dan dia menasihatkan saya supaya tidak terburu-buru kerana ini bukan masalah kecederaan,” katanya kepada pemberita selepas menandatangani kontrak sebagai duta produk minuman isotonik di sini hari ini.

Pada masa sama, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu juga belum dapat mengesahkan penyertaannya dalam Kejohanan All England 2019 yang berlangsung pada Mac.

“Memang saya nak tapi buat masa sekarang saya tak boleh cakap ‘yes’ (ya). Tetapi apa yang penting saya ada kemahuan untuk turun beraksi,” kata beliau.

Untuk rekod, kali terakhir Chong Wei beraksi di tahap kompetitif adalah pada saingan separuh akhir Terbuka Indonesia 2018 Julai lepas, menyaksikan beliau tewas kepada pemain dari Jepun, Kento Momota. - Bernama 


PANS MAM MK

Advertisement