Anda di sini

51 anak warga Tg. Aru sertai Majlis Khatan Beramai-Ramai

Advertisement
AG. Husaini (berdiri, enam kiri) bersama Jawatankuasa Masjid Al-Kauthar dan tetamu jemputan merakamkan kenangan bersama kanak-kanak yang menyertai program berkhatan.
AG. Husaini (berdiri, enam kiri) bersama Jawatankuasa Masjid Al-Kauthar dan tetamu jemputan merakamkan kenangan bersama kanak-kanak yang menyertai program berkhatan.

KOTA KINABALU: Seramai 51 orang kanak-kanak diraikan dalam Majlis Berkhatan Beramai-Ramai anjuran Usia Cawangan Kg. Tanjung Aru Lama dengan kerjasama Masjid Al-Kauthar Tanjung Aru yang diadakan di masjid berkenaan pada Sabtu.

Kanak-kanak yang terlibat adalah dalam lingkungan usia 11 hingga 12 tahun dari sekitar Mukim Tanjung Aru termasuk Kg. Tanjung Aru Lama, Kg. Tanjung Aru Baru dan Rumah Pangsa Tg. Aru.

Majlis telah disempurnakan perasmiannya oleh Ahli Parlimen P173 Putatan Ag. Husaini Datuk Haji Sahari.

Turut hadir Haji Yunos Malai Amit pengerusi penganjur selaku Ketua Cawangan Usia Kg. Tanjung Aru Lama, barisan Imam Masjid Al-Kauthar Tanjung Aru terdiri Imam Kariah Imam Rendra Ahmad, Imam Musa Abbas, Imam Hj. Mohd Izzat Haji Ismail bersama barisan Bilal dan barisan jawatankuasa penganjur.

Berucap merasmikan majlis itu Ag. Husaini merakamkan setinggi tahniah kepada Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (Usia) Kg. Tanjung Aru Lama dan Jawatankuasa Masjid Al-Kauthar di atas penganjuran Majlis Berkhatan Beramai-Ramai berkenaan.

AG. Husaini memberikan kata-kata semangat kepada salah seorang kanak-kanak yang sedang dikhatan.
AG. Husaini memberikan kata-kata semangat kepada salah seorang kanak-kanak yang sedang dikhatan.

Selaku Ahli Parlimen Putatan di mana Tanjung Aru juga merupakan sebahagian daripadanya, beliau akan memberikan sokongan dan kerjasama di atas usaha Haji Yunos Malai Amit Ketua Cawangan Usia Kg. Tanjung Aru Lama yang akan memperkasa dan menambah aktiviti Usia di cawangan ini.

Menyentuh mengenai majlis itu katanya, ianya merupakan hari yang penuh bermakna kepada ibu bapa terutamanya kanak-kanak yang terlibat, di mana hari ini mereka akan beralih ke alam dewasa.

Katanya, penganjuran majlis seumpama ini juga dapat membantu meringankan bebanan ibu bapa yang berpendapatan rendah dan sederhana dan berharap program seumpama ini akan diteruskan pada masa-masa akan datang.

Sebelum itu Imam Kariah, Imam Rendra Ahmad merakamkan penghargaan kepada pihak Usia kerana telah memilih Masjid Al-Kauthar sebagai lokasi program berkenaan.

Katanya, program berkhatan adalah salah satu aktiviti kemasyarakatan yang sinonim dengan pengisian cuti sekolah di hujung tahun.

"Berkhatan adalah satu amalan yang amat dianjurkan dalam Islam seperti yang disebutkan dalam sebuah Hadis yang bermaksud; "Lima perkara fitrah manusia iaitu Berkhatan, Memotong bulu ketiak, Mencukur bulu kemaluan, Memotong kuku dan Mencukur kumis," katanya.

Dalam pada itu pengerusi penganjur Haji Yunos Malai Amit mengucapkan ribuan terima kasih di atas kesudian Ahli Parlimen Putatan Ag. Husaini hadir dan merasmikan majlis itu.

AG. Husaini melakukan acara menyiram kanak-kanak sertai khatan simbolik merasmikan majlis itu.
AG. Husaini melakukan acara menyiram kanak-kanak sertai khatan simbolik merasmikan majlis itu.

Beliau turut mengucapkan terimakasih di atas sumbangan pelbagai pihak termasuk Ag. Husaini Datuk Haji Sahari sehingga majlis ini berlangsung dengan jayanya.

Pada majlis itu, Ag. Husaini turut dibawa melihat Kipas Gergasi yang baru dipasang di Masjid Al-Kauthar berkenaan di mana pembelian kipas berkenaan adalah hasil sumbangan jemaah masjid, orang perseorangan, pemimpin, pihak NGO dan Parlimen P173 Putatan.

  • oleh
  • Advertisement