Anda di sini

Public Bank rancang perluas perkhidmatan RCB ke seluruh negara pada tahun depan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Public Bank Bhd (PB) merancang untuk memperluaskan perkhidmatan Red Carpet Banking (RCB) ke seluruh negara pada tahun depan untuk meningkatkan capaian pasarannya dan membolehkan lebih ramai pelanggan menikmati faedahnya.

Ini susulan penjenamaan semula RCB sebagai RCB Exclusives dan pelancaran Kad Debit PB RCB Mastercard Premier, iaitu Kad Debit RCB Elite dan Kad Debit RCB Gold, kata Pengarah Urusan PB Tan Sri Tay Ah Lek.

“Setakat ini, terdapat tujuh pusat RCB yang terletak di Wilayah Persekutuan, Johor dan Melaka,” katanya pada majlis pelancaran kad debit itu dan penjenamaan semula RCB di sini semalam.

Tay berkata pelanggan RCB Exclusives boleh menikmati faedah yang ditawarkan daripada Deposit Tetap PB RCB Premier/Kempen Deposit-i Bertempoh, Kempen Pendaftaran Keahlian RCB dan Program Rujukan Pelanggan RCB.

Deposit Tetap (FD) PB RCB Premier/Kempen Deposit-i Bertempoh menawarkan kadar faedah FD/kadar keuntungan sehingga 4.4 peratus setahun untuk tawaran 12 bulan, manakala Kempen Pendaftaran Keahlian RCB menawarkan pilihan hadiah pendaftaran yang eksklusif untuk ahli baharu.

“Kedua-dua Kad Debit PB RCB Mastercard Premier yang baharu itu direka dan dikeluarkan secara eksklusif kepada ahli RCB Elite dan RCB Gold.

“Kedua-dua kad debit itu berfungsi sebagai kad keahlian RCB, yang membolehkan pelanggan mendapat Mata VIP dalam pembelian runcit mereka,” kata Tay.

Sementara itu, Pengurus Negara Mastercard Malaysia dan Brunei Perry Ong berkata kad debit itu akan memenuhi keperluan yang berubah-ubah bagi segmen pelanggan premium di negara ini yang berkembang.

“Kad debit ini lebih baik daripada tunai dan kad ATM, dan akan memberi pengalaman yang eksklusif kepada pelanggan dari segi penginapan mewah, makan, membeli-belah dan hiburan.

“Kad debit baharu itu juga baik untuk perjalanan berikutan ia membolehkan pemegang kad membuat pembelian yang mudah dan selamat di luar negara di lokasi perniagaan yang menerima Mastercard,” kata Ong. — Bernama

Advertisement