Anda di sini

KPJ Sabah Specialist kini sediakan Pusat Radioterapi dan Onkologi

Advertisement
HASHIM diberi taklimat terperinci peralatan Pusat Radiologi dan Onkologi yang pertama di Sabah di KPJ Sabah Specialist Hospital selepas merasmikan pusat rawatan itu.-Bernama.
HASHIM diberi taklimat terperinci peralatan Pusat Radiologi dan Onkologi yang pertama di Sabah di KPJ Sabah Specialist Hospital selepas merasmikan pusat rawatan itu.-Bernama.

KOTA KINABALU: Pesakit kanser negeri ini tidak lagi perlu terbang ke luar negara bagi mendapatkan rawatan memandangkan KPJ Sabah Specialist Hospital kini menyediakan Pusat Radioterapi dan Onkologi.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, kemudahan itu adalah pusat rawatan swasta yang pertama di Sabah sekaligus mampu meningkatkan lagi perkhidmatan kesihatan dalam rantau ini.

"Saya yakin pusat ini mampu membantu memberikan perkhidmatan yang lebih berkualiti dalam menangani penyakit kanser yang kini kesnya semakin meningkat di Sabah.

"Ia juga membuka laluan kepada pesakit luar negara seperti Brunei, Indonesia, Filipina dan China untuk datang ke sini mendapatkan rawatan," katanya ketika merasmikan Pusat Radioterapi dan Onkologi KPJ Sabah Specialist, di sini pada Sabtu.

Teks ucapannya disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Hashim Paijan.

Shafie berkata, kejayaan yang dicapai hospital itu juga memberi ruang kepada Sabah untuk dikenali di persada dunia sebagai hab pelancongan kesihatan.

Katanya, keadaan itu sekaligus akan membantu pertumbuhan ekonomi yang lebih baik untuk negeri ini.

Sementara itu,  Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad Datuk Amiruddin Abdul Satar berkata, kewujudan teknologi rawatan moden yang disediakan dalam hospital itu, KPJ Sabah akan memastikan mereka mampu mencapai matlamat dengan memberikan terbaik kepada rakyat Sabah dan Malaysia secara keseluruhannya.

"Pada 2017, seramai 480 pesakit kanser telah mendapatkan rawatan kanser yang mana 379 pesakit untuk rawatan kemoterapi dan 101 pesakit untuk rawatan radioterapi.

"Tahun berikutnya, jumlah itu meningkat sebanyak 40 peratus dalam rawatan kanser, 47 peratus rawatan kemoterapi dan 13 peratus rawatan radioterapi," katanya.

Menurutnya, pihaknya juga mencatatkan rawatan tertinggi dalam kanser payu dara dan serviks di negeri ini.

Hadir sama ialah Pengarah Kesihatan KPJ Sabah Specialist Hospital Datuk Dr Ajaz Ahmad Nabijan, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr Christina Rundi, Pembantu Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Norazlinah Arif serta tetamu kehormat yang lain.

  • oleh
  • Advertisement