Anda di sini

Kehilangan nelayan di Pegasus Reef masih misteri

Advertisement
OMAR bersama kakitangannya dan ahli Perkep merakamkan gambar kenangan selepas aktiviti gotong royong di Teluk Likas pada Sabtu.
OMAR bersama kakitangannya dan ahli Perkep merakamkan gambar kenangan selepas aktiviti gotong royong di Teluk Likas pada Sabtu.

KOTA KINABALU: Kehilangan nelayan di perairan Pegasus Reef, Kinabatangan Rabu lalu masih menjadi misteri kepada pasukan keselamatan.
 
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata maklumat sebelum ini mengatakan empat nelayan dilaporkan hilang bagaimanapun maklumat terbaharu mendedahkan hanya tiga nelayan yang hilang.

“Pasukan keselamatan masih mengumpulkan maklumat berkenaan kes ini dan masih terlalu awal untuk kita mengesahkan apa sebenarnya yang berlaku di lokasi kejadian.

“Khabar angin mendakwa empat yang hilang pada mulanya sudah dilarikan ke negara jiran bagaimanapun pasukan risikan belum menerima sebarang maklumat daripada keluarga mangsa ataupun pihak bertanggungjawab terhadap mangsa.

“Maklumat berkenaan empat atau tiga nelayan yang hilang masih belum dipastikan dan bilangan mangsa hilang masih belum jelas setakat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media dalam satu aktiviti Gotong-Royong Bersama Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Turut hadir ialah Pengerusi Perkep IPK Sabah Datin Diana Lee Dennis Abdullah, ahli Perkep Sabah dan pegawai polis lain.

Kehilangan nelayan itu dikesan semasa agensi keselamatan menjalankan pemeriksaan sebaik berlakunya kejadian bot tunda Magtrans II yang ditembak secara rambang di perairan terbabit kira-kira jam 6.30 petang.

Pasukan keselamatan menemukan sebuah bot tanpa individu dengan keadaan bot masih terpasang berhampiran lokasi kejadian.

Dalam pada itu Omar berkata keadaan maklumat yang sering bertukar menyebabkan kerja penyiasatan agak sukar dilaksanakan.

“Malam Jumaat lalu kita menerima maklumat mengatakan isteri salah seorang mangsa ada menerima panggilan telefon daripada pihak penculik bagaimanapun selepas kita menghantar pasukan khas untuk bertanyakan perkara ini, isteri mangsa menafikannya dan mengatakan tiada sebarang panggilan diterima setakat ini.

“Tanpa sebarang fakta kukuh kita tidak dapat mengatakan apa-apa berkenaan kejadian ini,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut kejadian orang hilang.

  • oleh
  • Advertisement