Anda di sini

Cycle & Carriage Bintang lancar khidmat selenggara bergerak Mercedes-Benz Star

Advertisement

KUALA LUMPUR: Cycle & Carriage Bintang Bhd, pengedar terbesar rangkaian kenderaan penumpang Mercedes-Benz di Malaysia, kini melancarkan perkhidmatan bergerak ‘Mercedes-Benz Star Mobile’ bagi kemudahan penyelenggaraan berjadual di premis kediaman atau pejabat pelanggan.

Ketua Pegawai Eksekutif Cycle & Carriage Bintang, Wilfrid Foo berkata perkhidmatan menggunakan kenderaan Mercedes-Benz Vito itu merangkumi aspek seperti penukaran bilah pengelap cermin, bateri kunci atau penggantian infra merah.

“Oleh kerana ini merupakan perkhidmatan pertama seumpamanya di Malaysia, kami berhasrat melihat sambutan pasaran terlebih dahulu dengan hanya menggunakan sebuah kenderaan dan di sekitar Lembah Klang.

“Matlamat kami adalah mengenal pasti keinginan dan keutamaan pelanggan. Jika ini berjaya, khidmat ini akan diperluaskan dengan menambah bilangan kenderaan dan kawasan liputan,” katanya selepas majlis pelancaran perkhidmatan itu di sini, semalam.

Perkhidmatan Mercedes-Benz Star Mobile itu dikendalikan oleh dua juruteknik berkelayakan serta dilengkapi sistem Diagnosis Xentry Diagnosis dan peralatan khusus bagi membantu mereka melakukan kerja-kerja penyelenggaraan tersebut.

Malah, bersempena pelancaran perkhidmatan itu, Cycle & Carriage mengecualikan fi perkhidmatan untuk tempoh tiga bulan pertama dan pelanggan boleh menetapkan tarikh janji temu dengan mana-mana pengedar Cycle & Carriage di Lembah Klang.

Selain itu pada 3 Disember lepas, Cycle & Carriage Bintang memaklumkan Bursa Malaysia mengenai rancangan penjualan 49 peratus kepentingannya dalam Mercedes-Benz Malaysia Sdn Bhd pada harga RM66 juta berikutan keputusan Daimler AG mengemukakan pilihannya.

Usaha itu dijadual dapat dijalankan pada 30 Nov tahun depan berikutan berakhirnya tempoh 12 bulan dari tarikh notis Daimler dan Cycle & Carriage Bintang juga tidak lagi layak menerima dividen tahunan kira-kira RM11.2 juta.

Diminta mengulas butiran perbelanjaan RM66 juta itu, Foo berkata ia akan dijadikan modal kerja serta bagi tujuan pembayaran pinjaman bank.

Mengulas sumber pendapatan lain berikutan tidak lagi menerima dividen RM11.2 juta itu, beliau berkata: “Ada banyak peluang dalam aliran nilai mana-mana perniagaan dan kami lebih fokus terhadap usaha melabur bagi (kepentingan) pekerja, sistem dan infrastruktur serta penyediaan khidmat pelanggan yang cemerlang.

“Inilah yang diusahakan selama ini dan terbukti membuahkan hasil sebagaimana dipaparkan peningkatan prestasi kewangan kami dalam tempoh suku-suku sebelum ini,” katanya. — Bernama

Advertisement