Anda di sini

19 Februari sebutan lanjut kes pemandu lori dituduh bunuh, rogol wanita

Advertisement
 Philip (kiri) dibawa keluar dari lokap Kompleks Mahkamah Sibu semalam untuk dihadapkan di Mahkamah Sesyen.
SEBUTAN LANJUT: Philip (kiri) dibawa keluar dari lokap Kompleks Mahkamah Sibu semalam untuk dihadapkan di Mahkamah Sesyen.

SIBU: Mahkamah Sesyen di sini semalam menetapkan 19 Februari depan bagi sebutan lanjut kes pemandu lori yang didakwa atas tuduhan membunuh serta merogol seorang pembantu pendaftar Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sini.

Hakim Caroline Bee Majanil menetapkan tarikh tersebut setelah mendengar permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Tajul Ariffin Musa yang memohon kes ditangguh ke satu tarikh baharu.

Tajul terdahulu memohon kes ditangguhkan berikutan pihak pendakwa memerlukan lebih masa bagi menyediakan laporan berkaitan kes.

Ketika prosiding semalam, tiada pengakuan diambil daripada tertuduh, Philip Uja, 42, atas tuduhan membunuh dan merogol Nurnia Azalea Priscilla, antara jam 8 malam, 1 Ogos dan 2.30 petang, 2 Ogos di sebuah bilik sewa di Jalan Tiong Hua.

Bagi pertuduhan membunuh, Philip didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 376(4) kanun yang sama bagi tuduhan merogol. Tertuduh diwakili oleh peguam Rosli Gapor.

Menurut laporan sebelum ini, mayat Nurnia Azalea ditemui dengan tangan dan kakinya terikat ke belakang oleh rakan-rakannya di rumah sewa mangsa di Jalan Tiong Hua pada jam 2.30 petang, 2 Ogos lalu.

Rakan mangsa pergi ke rumah sewanya selepas suami mangsa, 29, yang bekerja sebagai kerani di sebuah sekolah di Tatau meminta bantuan mencarinya selepas gagal menghubungi isterinya itu.

Pasangan itu telah berkahwin selama setahun dan tidak mempunyai cahaya mata.

Pihak polis berjaya menahan tertuduh di sebuah rumah panjang di Julau pada 7 Ogos, kira-kira jam 10.40 pagi.

Advertisement