Anda di sini

Sistem persidangan video pantau situasi banjir: Uggah

Advertisement
 Uggah (tengah) bercakap pada sidang media di Bilik Gerakan Negeri di Wisma Bapa Malaysia di Kuching semalam. — Gambar Chimon Upon
BERSEDIA: Uggah (tengah) bercakap pada sidang media di Bilik Gerakan Negeri di Wisma Bapa Malaysia di Kuching semalam. — Gambar Chimon Upon

KUCHING: Sistem persidangan video atau video conferencing akan diguna pakai untuk memantau situasi banjir di seluruh negeri ini dengan lebih cekap.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Negeri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata pemasangan sistem ini telah siap dan sedia untuk digunakan bagi tujuan tersebut.

“Sistem ini sudah siap dipasang dan mulai sekarang Bilik Gerakan Negeri boleh melakukan persidangan video dengan setiap bilik gerakan di semua daerah di Sarawak.

“Menerusi persidangan video ini, kita dapat menggerakkan pasukan kita untuk mengendalikan situasi banjir di kawasan yang terjejas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bilik Gerakan Negeri di Wisma Bapa Malaysia semalam  selepas Mesyuarat Penyelarasan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak.

Mengulas lebih lanjut mengenai persediaan bagi menghadapi kemungkinan banjir, Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata jawatankuasa telah bersedia dari segi kekuatan petugas, logistik dan pusat pemindahan.

Dari segi kekuatan anggota petugas katanya, seramai 22,436 anggota dan pegawai telah bersedia terdiri daripada pelbagai agensi antaranya Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak dan R &DO (CERT).

Dari segi persiapan logistik pula katanya, sebanyak lima helikopter dan lima unit alat dron akan digunakan termasuk 121 kenderaan jenis lori, 484 kenderaan pacuan empat roda (4x4), 328 bot dan 101 ambulans.

Pada masa yang sama, sebanyak 621 pusat pemindahan banjir disediakan yang mampu menempatkan hampir 200,000 mangsa banjir di semua 12 bahagian di seluruh negeri.

“Saya berpuas hati dengan persediaan yang dibuat oleh semua agensi bagi menghadapi musim monsun timur laut yang diramalkan melanda negeri ini pada penghujung Disember ini hingga Februari tahun depan,” katanya.

Uggah dalam pada itu berkata jawatankuasa berkenaan agak berpengalaman dalam mengendalikan situasi banjir di negeri ini yang berlaku setiap tahun di lokasi-lokasi lain.

Beliau juga berharap jawatankuasa berkenaan akan dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada semua mangsa banjir bagi mengurangkan kerugian dan ketidakselesaan mangsa ketika berlaku banjir nanti.

Advertisement