Anda di sini

Qatar yakin ekonomi Malaysia terus berkembang

Advertisement

PUTRAJAYA: Ketika Qatar berkeyakinan bahawa ekonomi Malaysia akan terus berkembang, Malaysia pula sebaliknya, gembira dengan kesediaan Qatar untuk meningkatkan pelaburannya di negara ini.

Perkara itu disampaikan oleh Menteri Luar Qatar dan rakan sejawatannya dari Malaysia dalam sidang akhbar bersama di sini semalam berhubung perkembangan susulan perbincangan antara Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al-Thani  dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Perdana Putra di sini, bersempena lawatan kerja tiga hari pemimpin Qatar itu ke Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Luar Qatar Sheikh Mohammed Abdulrahman Al-Thani, berkata Qatar berkeyakinan ekonomi Malaysia akan terus berkembang terutamanya berikutan wawasan yang mereka dengar daripada Dr Mahathir.

“Kami komited untuk meneruskan perbincangan dan dialog dalam bidang pelaburan serta mempertingkatkan kerjasama ekonomi,” katanya.

Sheikh Mohammed turut menggalakkan lebih banyak syarikat Malaysia untuk datang ke Doha dan mengambil bahagian dalam pelaksanaan pembangunan terutamanya melibatkan projek infrastruktur yang sedang dijalankan bagi Piala Dunia 2022 dan seterusnya.

Menurut beliau, kini terdapat beberapa syarikat Malaysia yang menjalankan 'tugas yang sangat baik' di Qatar.

Beliau berkata Qatar dan Malaysia juga bersetuju untuk mengaktifkan majlis perniagaan bersama.

“Kedua-dua pemimpin telah mengarahkan kami supaya menubuhkan sebuah platform untuk menyelia semua sektor membabitkan hubungan sama ada dalam bidang ekonomi, perdagangan atau politik di samping  semua bidang lain yang berpotensi,” katanya.

Sheikh Mohammed turut berkata: “Kami mengadakan kerjasama dalam bidang politik serta pelaburan di Malaysia yang semakin berkembang dan berjalan dengan sangat baik.”

Menteri Luar Malaysia Datuk Saifuddin Abdullah berkata Malaysia gembira apabila Qatar menyatakan kesediaan untuk meningkatkan pelaburannya di Malaysia.

Beliau berkata pada mesyuarat delegasi Malaysia-Qatar yang dipengerusikan bersama oleh  Dr Mahathir dan Sheikh Tamim, tumpuan utama terarah kepada cara bagi kedua-dua pihak untuk terus memperkukuhkan dan memperluaskan kerjasama terutamanya dalam perdagangan serta pelaburan.

“Kedua-dua pihak mengambil maklum tentang keperluan untuk meneroka potensi yang begitu besar di kedua-dua negara,” katanya.

Dalam mesyuarat itu juga, Sheikh Mohammed berkata kedua-dua pemimpin membincangkan kerjasama dua hala dalam pembangunan antarabangsa di  mana kedua-dua negara boleh memanfaatkan keupayaan kerajaan Malaysia dalam menyediakan bantuan teknikal manakala Qatar pula menyediakan bantuan asing kepada beberapa negara.

“Jadi, ini adalah potensi kerjasama yang begitu meluas antara kedua-dua negara dan ia bermatlamat supaya pemimpin kita mempertingkatkan hubungan antara kedua-dua negara,” katanya.

Sheikh Mohammed berkata kedua-dua pemimpin turut berpeluang membincangkan tentang hal ehwal serantau terutamanya konflik dalam dunia Islam dan situasi di Yaman, Syria serta Rohingya.

“Kedua-dua pemimpin sependapat dalam isu terbabit dan mereka bersetuju bahawa konflik itu perlu ditamatkan dan rakyat perlu disediakan pekerjaan serta penyelesaian,” katanya.

Menggambarkan hubungan Qatar-Malaysia yang dijalin selama beberapa dekad, Sheikh Mohammed berkata: “Kerjasama antara kedua-dua negara mesra bagaikan bersaudara.”

Saifuddin berkata Dr Mahathir dan Sheikh Tamim turut menyuarakan harapan masing-masing agar menteri serta pegawai dari kedua-dua negara mengadakan pertemuan yang kerap dan saling memahami berikutan potensi kerjasama lebih hebat yang boleh dijalin antara kedua-dua negara.

“Bagi menzahirkan betapa seriusnya kami dalam usaha untuk menjalin hubungan yang lebih akrab, kedua-dua menteri luar akan bertemu semula tengah hari ini,” katanya.

Saifuddin berkata lawatan kerja Emir Qatar ke Malaysia, selepas lawatan negara beliau yang pertama pada Oktober tahun lepas, sangat signifikan oleh sebab ia dilakukan bersempena Anugerah Kecemerlangan Antarabangsa Anti-Rasuah Sheikh Tamim kali ketiga yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini. — Bernama

Advertisement