Anda di sini

Pendekatan pendayaupayaan penting perangi dadah

Advertisement
ROSEY
ROSEY

BEKENU: Pendekatan pendayaupayaan dalam pembangunan komuniti merupakan antara program penting dalam memberi pengetahuan dan kefahaman mengenai bahaya dadah, selain meningkatkan kesedaran masyarakat setempat terhadap peranan serta tanggungjawab masing-masing bagi memerangi dadah habis-habisan.

Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Rosey Yunus berkata, program berkenaan termasuk merancang, menggerak dan melaksanakan program dan aktiviti pendidikan pencegahan serta rawatan dan pemulihan dalam komuniti.

“Malah, kawasan Bekenu, Subis di sini telah dipilih sebagai kawasan Perangi Dadah Habis-Habisan (PDH) 3.0 tahun 2018, yang memerlukan gerakan komuniti melalui kursus Training of Trainers (TOT) Combat-Drugs Abuse Prevention Strategy (DAPS) agar peranan komuniti lebih jelas dan berterusan sebagai ahli sukarelawan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan aktif dalam Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Daerah Subis,” jelasnya.

Rosey berkata demikian pada Majlis Penutupan Kursus TOT Combat-DAPS Kempen Perangi Dadah Habis-Habisan 3.0 Bekenu dan Pelancaran Penubuhan Jawatankuasa Sehenti Bagi Menangani Isu Dadah dan Substance (MIDS) Peringkat Daerah Subis di Dewan Masyarakat Bekenu di sini petang semalam.

Menurut Rosey, pendekatan pendayaupayaan komuniti merupakan salah satu elemen dalam merealisasikan kempen PDH yang diketuai AADK.

“Justeru, program TOT Combat DAPS yang dianjurkan ini juga amat bertepatan dengan kehendak kempen PDH yang diisytiharkan pada sambutan Hari Antidadah Kebangsaan pada 28 Februari 2016 di Daerah Lawas.

“Hasrat murni kita ini pasti dapat direalisasikan sekiranya kita bersama memainkan peranan dalam usaha kita memerangi dadah demi menyelamatkan bukan sahaja ahli keluarga kita, malah masyarakat setempat dan bangsa kita,” ujarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu itu turut berharap para peserta yang telah mengikuti kursus TOT Combat DAPS berkenaan memperoleh pengalaman dan ilmu yang dapat memberi impak positif dan membantu mewujudkan negara bebas dadah khususnya di kawasan Bekenu.

Sementara itu, antara objektif penganjuran kursus selama dua hari itu adalah bagi mengaktifkan peranan pemimpin komuniti dengan memberi pendedahan mengenai trend dan ancaman dadah semasa yang perlu ditangani bersama.

Selain itu, ia turut meningkatkan kesedaran pemimpin komuniti untuk merangka strategi dan menyediakan pelan tindakan mengikut keperluan dan trend penyalahgunaan dadah, di samping memberi latihan dan teknik melibatkan ahli komuniti.

Turut hadir Pegawai Daerah Subis Jamalie Busri dan Pemanca Ali Mudin.

  • oleh
  • Advertisement