Anda di sini

OPEC berhimpun di Vienna, bincang pengurangan pengeluaran

 Polis Austria berkawal di pintu masuk ke Ibu Pejabat OPEC di Vienna, kelmarin. — Gambar AFP
KAWAL: Polis Austria berkawal di pintu masuk ke Ibu Pejabat OPEC di Vienna, kelmarin. — Gambar AFP

VIENNA: Anggota Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan negara lain yang mengeluarkan minyak berhimpun di Vienna semalam untuk membincangkan pengurangan pengeluaran bagi menaikkan harga, manakala Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menggesa mereka untuk terus membuka kepala paip.

Menteri minyak dari kira-kira 20 negara sibuk menjalankan rundingan persiapan di ibu negara Austria kelmarin sebelum mesyuarat selama dua hari berlangsung di ibu pejabat OPEC.

Wakil delegasi masih enggan bercakap mengenai perkara yang telah dipersetujui dalam beberapa mesyuarat tertutup di beberapa hotel paling eks-klusif di Vienna, manakala Trump menggunakan Twitter untuk menggesa pengeluar agar terus mengepam minyak bagi memastikan komoditi itu kekal berpatutan.

“OPEC diharap akan mengekalkan aliran minyak seperti sekarang, tidak di-sekat. Dunia tidak mahu melihat, atau memerlukan, harga minyak yang lebih tinggi!” kata Trump, yang pada masa lalu beberapa kali menuduh kartel itu mengekalkan harga pada tahap yang tinggi.

Pada hujung 2016, negara tetap OPEC menggembleng tenaga dengan negara lain di luar kartel untuk sama-sama mengurangkan pengeluaran dalam usaha untuk mengurangkan lebihan bekalan yang menjejaskan harga ketika itu.

Langkah bersepadu itu – yang sudah dilanjutkan sejak itu – merangsang kenaikan harga minyak yang lama sehingga Oktober 2018.

Bagaimanapun sejak dua bulan lalu, harga menjunam sekali lagi dan setong minyak mentah Brent, penanda aras di Eropah, kini berada sekitar AS$60 (RM240).

Sehubungan ini, kumpulan yang dipanggil OPEC+ – yang menyumbang kepada lebih separuh daripada minyak di dunia – telah datang ke Vien-na untuk membincangkan pembaharuan perjanjian atau mungkin malah mengurangkan lagi pengeluaran.

Semua isyarat membayangkan pengurangan selanjutnya dalam pengeluaran akan dibuat, walaupun menerima tekanan daripada Trump, yang berpendapat menutup paip boleh mengekang ekonomi, yang memerlukan minyak berpatutan untuk terus berjalan dengan lancar.

“Ya, kita akan melakukan pemotongan,” kata Menteri Minyak Oman, Mohammed bin Hamad Al Rumhi.

“Kita ada masa untuk membincangkan butiran esok (Khamis).”

Rakan sejawatan dari Nigeria turut membayangkan pengurangan pengeluaran adalah satu kemungkinan.

Bagaimanapun, pengeluar ketiga terbesar dalam OPEC, Iran, meminta untuk dike-cualikan daripada sebarang langkah sedemikian.

Menteri Minyak Iran, Bijan Namdar Zanganeh, berkata petang kelmarin ketika beliau tiba di Vienna: “Kami mesti dikecualikan daripada sebarang keputusan untuk mengurangkan pengeluaran selagi sekatan AS yang me-nyalahi undang-undang tidak ditarik balik.”

Negara utama dalam OPEC, Arab Saudi khususnya mendapati diri dalam kedudukan yang rumit ekoran pembunuhan wartawan pembangkang Jamal Khashoggi.

Trump tetap menyokong negara itu walaupun pembunuhan itu mencetuskan kemarahan di seluruh dunia.

Maka itu, Riyadh, yang menyokong harga lebih tinggi, pasti tidak mahu menimbulkan kemarahan pemimpin AS itu.

“Perkara besar yang tidak diketahui ialah bagaimana Presiden Trump akan bertindak terhadap sebarang pengurangan pengeluaran,” kata penganalisis di ING. — AFP