Anda di sini

Noripah dilantik Pengerusi baharu Lembaga Pengarah Bank Rakyat

Advertisement

PUTRAJAYA: Bekas Penasihat CIMB Islamic Bank Bhd (CIMB Islamic), Datuk Noripah Kamso dilantik sebagai Pengerusi baharu Lembaga Pengarah Bank Rakyat berkuat kuasa serta-merta.

Pelantikan Noripah yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif CIMB-Principal Islamic Asset Management Sdn Bhd, diumumkan oleh Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof menerusi satu kenyataan di sini semalam.

Noripah menggantikan Tan Sri Shukry Mohd Salleh yang disingkirkan daripada jawatan itu pada 26 November lepas berikutan keterlibatan beliau dalam Laporan Asal Audit 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Mohd Redzuan berkata Noripah pada masa ini adalah Ahli Lembaga Pengarah BIMB Investment Management Berhad dan Top Glove Corporation Berhad serta Pengerusi bersama Majlis Industri Kewangan Islam dan Dewan Perniagaan Malaysia Amerika yang berpusat di Washington DC, Amerika Syarikat.

Beliau juga merupakan bekas Presiden Persatuan Broker Niaga Hadapan Malaysia (MFBA) dan kini menjadi Ahli Jawatankuasa Rayuan Pusat Penyelesaian Industri Sekuriti, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Selain itu, Mohd Redzuan turut mengumumkan pelantikan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan, Wan Suraya Wan Mohd Radzi sebagai Ahli Lembaga Pengarah Bank Rakyat yang baharu.

Beliau berkata kedua-dua pelantikan baharu yang berkuat kuasa serta-merta itu adalah selaras dengan kuasa yang diperuntukkan kepada Menteri Pembangunan Usahawan di bawah subperenggan 1(2) Jadual Pertama, Akta Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Peruntukan Khas) 1978 Akta 202.

Menurutnya, pelantikan ahli-ahli Lembaga Pengarah baharu Bank Rakyat lainnya akan diumumkan sebaik sahaja dimuktamadkan, tertakluk kepada proses penentusahan ‘layak dan sesuai’ oleh Bank Negara Malaysia selaras dengan seksyen 6 Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 Akta 618. — Bernama

Advertisement