Anda di sini

Martabat percukaian tanggungjawab kolektif masyarakat

Advertisement
 Para pengamal percukaian semasa menghadiri SPK di Sibu, semalam.
BELAJAR: Para pengamal percukaian semasa menghadiri SPK di Sibu, semalam.

SIBU: Pematuhan cukai dan memartabatkan perundangan percukaian merupakan satu tanggungjawab kolektif masyarakat, kata Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) Sarawak Cawangan Sibu Dr John Tensay Peter Raig.

Beliau menyeru masyarakat dapat bersama-sama LHDNM mendorong masyarakat yang lain melaksanakan tanggungjawab percukaian masing-masing bagi meningkatkan tahap pematuhan cukai di negara ini.

“Pada masa yang sama, LHDNM akan berusaha memudahkan urusan percukaian dengan mewujudkan satu sistem penyampaian perkhidmatan yang mudah, cepat, cekap, efisien, telus dan berintegriti agar sistem percukaian itu akhirnya dilihat sebagai satu aset komuniti yang sewajarnya dipelihara,” ujarnya semasa berucap merasmikan Seminar Percukaian (SPK) Kebangsaan 2018 di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.

Seramai 284 peserta terdiri daripada pengamal percukaian dan institusi kewangan menghadiri seminar selama sehari itu.

Hadir sama ialah Timbalan Pengarah LHDNM Sarawak Cawangan Sibu Gabriel Storie.

Seminar dikendalikan Timbalan Pengarah Bahagian Konsultasi Galakan Cukai, Jabatan Dasar Percukaian LHDNM Suhaini Anuar dan Pengarah Bahagian Audit Majikan, Jabatan Pematuhan Cukai LHDNM Paul Sarip.

Dr John berkata, sejajar dengan keutamaan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan, LHDNM juga akan memastikan hasrat dan perancangan kerajaan dapat dilaksanakan melalui Belanjawan 2019.

“Belanjawan kali ini satu belanjawan yang memberi fokus mengurangkan hutang negara dan mengukuhkan pertumbuhan ekonomi Malaysia demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara,” tegasnya.

LHDNM jelasnya, sebagai pentadbir cukai utama negara sentiasa bersedia melaksanakan amanat yang telah diberi dalam bajet 2019.

Ini terutamanya, jelas Dr John, memastikan Program Khas Pengakuan Sukarela mencapai objektif yang telah ditetapkan, selain memastikan individu yang memiliki sebarang kekayaan luar biasa menerusi pemilikan mewah seperti barang kemas, jam tangan, beg tangan, kereta mewah atau hartanah telah mematuhi undang-undang percukaian di negara ini.

Bercakap mengenai SPK, beliau memberitahu, seminar ini telah diadakan sebanyak 36 kali sejak ia diperkenalkan buat kali pertama pada 1984.

“Pada tahun ini, SPK telah dilaksanakan di 24 lokasi yang berbeza termasuk Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan bagi memastikan seminar ini dapat dimanfaatkan semua golongan pembayar cukai yang berada di seluruh pelosok negara,” katanya.

SPK merupakan salah satu program pendidikan percukaian yang dianjurkan LHDNM pada setiap tahun dan diadakan sebaik sahaja selesai pembentangan belanjawan tahunan.

Ia adalah medium untuk memberi pendedahan berhubung maklumat terkini tentang pindaan undang-undang berkaitan percukaian kepada badan-badan profesional, pengamal-pengamal percukaian, para majikan dan rakyat.

Pada PRK itu, Suhaini membentangkan secara terperinci berhubung pindaan-pindaan peruntukan yang berkaitan dalam akta di bawah pentadbiran LHDNM serta kesan-kesan timbul susulan daripada pindaan tersebut.

Paul pula membentangkan peranan LHDNM dalam menyediakan pelbagai kemudahan bagi memudahkan orang ramai melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pembayar cukai dan pemahaman yang lebih lanjut tentang cukai.

  • oleh
  • Advertisement