Anda di sini

Madrasah As-Syibyan Miri anjur majlis berkhatan beramai-ramai

Advertisement
 Kanak-kanak menikmati saat-saat disiram air sebelum bermulanya acara berkhatan di Miri, baru-baru ini.
SERONOK: Kanak-kanak menikmati saat-saat disiram air sebelum bermulanya acara berkhatan di Miri, baru-baru ini.

TIGA PULUH kanak-kanak lelaki berusia tujuh hingga 13 tahun sekitar bandar raya Miri telah menyertai majlis berkhatan beramai-ramai anjuran Madrasah As-Syibyan Miri (Sekolah Agama Rakyat Miri) dan Jawatankuasa Ibu Bapa dan Guru (JKIBG), di Miri baru-baru ini.

Program tahunan yang diadakan pada musim sekolah itu melibatkan kerjasama daripada 16 kakitangan Hospital Miri diketuai oleh Dr Mohammad Muzakkir Ibrahim.

Menurut Dr Mohammad Muzakkir, sesi berkhatan tersebut mengambil masa antara 15 hingga 30 minit untuk seorang pesakit yang telah diberikan bius dan proses penyembuhan akan mengambil masa seminggu atau kurang.

“Tetapi bergantung kepada kanak-kanak berkenaan, ada di antara mereka sembuh dalam tempoh dua ke tiga hari dan tidak perlu menjalani pemeriksaan susulan, kecuali terdapat pendarahan yang berterusan.

“Selepas berkhatan kebiasaannya mereka akan diberikan ubat penahan sakit, antibiotik dan juga krim.

“Sebelum melakukan proses berkhatan, kita turut menjalankan pemeriksaan terdahulu dan kanak-kanak yang mempunyai masalah berkaitan akan dirujuk kepada doktor pakar bedah bagi menentukan kaedah berkhatan yang sesuai dan selamat sebab kita tidak mahu mengambil sebagai risiko terhadap mereka,” jelasnya.

Sebelum acara berkhatan beramai-ramai dilakukan, 30 kanak-kanak tersebut diarak di sekitar Madrasah As-Syibyan Miri dengan acara berzikir oleh kumpulan An-Nur dari Kampung Piasau Utara Miri.

Acara tepung tawar turut diadakan dengan tetamu serta ibu bapa masing-masing, dan kemudiannya kanak-kanak terbabit disiram air dengan bantuan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat menggunakan air dari jentera bomba.

Hadir sama ialah Pengerusi JKIBG Azmee Abdillah, Guru Besar Sekolah Agama Rakyat Miri Fauziah Mokhtar Khan, Pemegang Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Miri Penghulu Samad Alip dan Pegawai Agama Masjid At-Taqwa Ustaz Rahmat Abdul Razak.

  • oleh
  • Advertisement