Anda di sini

Liverpool bangkit bergaya di Turf Moor, terus ‘tekan’ City

 Lindgard (tengah) menjaringkang gol penyamaan buat United pada perlawanan liga menentang Arsenal di Stadium Emirates, London Rabu lepas. — Gambar AFP
GOL PENTING: Lindgard (tengah) menjaringkang gol penyamaan buat United pada perlawanan liga menentang Arsenal di Stadium Emirates, London Rabu lepas. — Gambar AFP

LONDON, England: Liverpool merapatkan kembali jurang kurang dua mata di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester City apabila bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan Burnley 3-1 sementara Manchester United dan Arsenal berkongsi satu mata selepas seri 2-2 pada perlawanan di Old Trafford Rabu lepas.

Wolves juga bangkit dari ketinggalan untuk memberikan kekalahan kedua Chelsea musim ini dengan kemenangan 2-1 di Molineux, membolehkan Tottenham Hotspur kembali ke tangga ketiga liga selepas menewaskan Southampton 3-1.

Chelsea dan Arsenal kini terikat 31 mata di tangga keempat liga, masih lapan mata di hadapan United yang menduduki tangga kelapan.

Dengan Manchester City tidak kelihatan hilang fokus di singahsana liga, Liverpool tidak mampu melakukan sebarang keciciran mata di Turf Moor walaupun pengurusnya, Jurgen Klopp melakukan tujuh pertukaran dengan Mohamed Salah dan Roberto Firmino bermula di bangku simpanan dan Sadio Mane tidak beraksi kerana kecederaan.

Kekuatan di jentera serangan ternyata dirindui ketika Liverpool berhempas-pulas mencari rentak dalam separuh masa pertama dan ketinggalan pada awal separuh masa kedua.

Kesilapan besar dari penjaga gol bernilai 67 juta pound Liverpool, Alisson Becker, menghadiahkan gol pembukaan Burnley selepas Alisson gagal menangkap kemas satu rembatan, membolehkan Jack Cork menolak bola muntah ke pintu gol.

Liverpool bagaimanapun bangkit segera untuk mengekalkan rekod tanpa kalah dalam liga kepada 15 perlawanan apabila James Milner mengikat kedudukan selepas satu jam permainan dan kemudian mengumpan bola kepada Firmino untuk meletakkan Liverpool di hadapan buat kali pertama, tiga minit selepas dimasukkan sebagai pemain gantian.

Xherdan Shaqiri melengkapkan jaringan pada lewat permainan.

“Karektor yang kami tunjukkan selepas ketinggalan adalah apa yang kami jangkakan dari pasukan ini,” kata Milner.

Arsenal melanjutkan tempoh tanpa kalah kepada 20 perlawanan tetapi gagal mengambil peluang dari dua gol ‘ehsan’ pasukan tuan rumah ketika tempoh tanpa menang United dalam liga berlarutan kepada empat perlawanan.

Ketika pasukannya beraksi hambar, penjaga gol United, David de Gea tetap beraksi tangkas sebelum gagal menepis kemas tandukan Shkodran Mustafi untuk meletakkan Arsenal di hadapan pada minit ke-26.

Empat minit kemudian, United berjaya mengikat kedudukan apabila Anthony Martial menyempurnakan umpanan Ander Herrera selepas penjaga gol Arsenal, Bernd Leno menepis hantaran lintang Marcos Rojo.

Tetapi gol dalam separuh masa kedua hanya berselang satu minit, dengan Rojo tertolak bola terkena penyerang Arsenal Alexandre Lacazette untuk meletakkan Arsenal kembali di hadapan.

Arsenal bagaimanapun masih meraikan gol apabila kekeliruan di antara Sead Kolasinac dan Leno membolehkan Jesse Lingard mencuri ruang untuk menjaringkan gol penyamaan seminit kemudian.

“Kami menjaringkan empat gol dan seri 2-2! Seperti kebiasaannya, kami melakukan kesilapan dan menerima padah,” kata pengurus United, Jose Mourinho.

“Hari ini juga sama, tetapi dengan semangat yang tinggi dan pemain bersedia untuk berusaha lebih gigih. Pujian kepada pasukan.”

De Gea kemudian menepis dua cubaan dari Pierre-Emerick Abubameyang dan Henrikh Mkhitaryan selain gol lewat Arsenal tidak dibenarkan kerana ofsaid ketika kedua-dua pasukan akhirnya akur dengan satu mata.

Wolves mencipta kemenangan pertama mereka dari tujuh perlawanan selepas bangkit dari ketinggalan dari gol Ruben Loftus Cheek untuk Chelsea pada minit ke-18.

“Kami bermain dengan sangat baik untuk 55 minit dan tiba-tiba kami adalah pasukan yang berbeza,” rungut pengurus Chelsea, Maurizio Sarri.

Raul Jimenez dan Diogo Jota melengkapkan kebangkitan Wolves dalam tempoh empat minit dalam separuh masa kedua.

“Ia tidak bermakna semua masalah telah diselesaikan. Ia bermakna kami harus mengekalkan rentak ini,” kata pengurus Wolves, Nuno Espirito Santo.

Spurs mengambil sepenuh peluang dari keputusan melibatkan Chelsea dan Arsenal dengan kembali ke tangga ketiga liga selepas mudah menewaskan Southampton 3-1.

Harry Kane membuka jaringan dari umpanan Christian Eriksen sebelum Lucas Moura dan Son Heung-min menjaringkan gol dalam tempoh empat minit selepas rehat.

Pada perlawanan lain, Fulham kini kurang satu mata dari zon selamat selepas seri 1-1 dengan Leicester City sementara perlawanan di antara Everton dan Newcastle United juga seri 1-1. — AFP