Anda di sini

Lelaki cuba tipu, larikan kereta pelanggan dicekup

Advertisement
 Mangsa berjaya menyelamatkan keretanya daripada dilarikan suspek.
BERJAYA DIHALANG: Mangsa berjaya menyelamatkan keretanya daripada dilarikan suspek.

MIRI: Seorang lelaki bukan sahaja melarikan diri bersama wang RM300, malahan cuba melarikan sebuah kereta milik seorang pelanggan yang ingin membeli lampu motosikal daripadanya.

Kejadian terbabit berlaku kira-kira pada jam 12.30 tengah malam Selasa lepas apabila mangsa, seorang pelajar lelaki berusia 18 tahun, berjanji untuk bertemu dengan suspek, 30, di depan sebuah sekolah rendah di Jalan Pujut 1.

Menurut sumber, suspek dipercayai melarikan diri menggunakan sebuah motosikal selepas menerima wang daripada mangsa tanpa memberikan lampu motosikal yang dijanjikan.

“Mangsa bersama rakannya telah mengejar suspek sehingga ke sebatang jalan berhampiran dengan Hospital Miri dan suspek turut terjatuh setelah gagal mengawal motosikalnya.

“Ketika suspek ditahan, dia bertindak agresif dan kemudiannya cuba melarikan diri menggunakan kereta mangsa namun perbuatannya itu berjaya dihalang,” kata sumber.

Disebabkan berlakunya pergelutan, suspek gagal mengawal kereta mengakibatkan kereta terbabas dan mengalami kerosakan di bahagian hadapan, tepi kiri dan kanan serta bampar belakang.

Susulan itu, mangsa bertindak menghubungi pihak polis bagi mendapatkan bantuan untuk menangkap suspek.

Sepasukan anggota polis membuat tangkapan semula ke atas suspek dan suspek turut diberi rawatan di Hospital Miri akibat kecederaan yang dialaminya.

Dalam tangkapan itu, polis merampas sebuah motosikal yang ditunggang suspek yang disyaki motosikal curi.

Advertisement