Anda di sini

Lebih 20 tahun damba klinik, penduduk Penan kian terbeban

BAHAGIAN SATU

MANA klinik kami? Itu persoalan yang membelenggu hampir 600 penduduk kaum Penan sejak lebih 20 tahun lalu untuk memiliki sebuah klinik kesihatan Long Napir yang amat diperlukan bagi 11 kampung Penan di Hulu Sungai Limbang.

Dalam tempoh itu juga penduduk tidak mempunyai pilihan sebaliknya bergantung kepada Hospital Limbang yang terletak kira-kira 112 kilometer dari bandar Limbang, iaitu tiga jam perjalanan menggunakan jalan balak untuk menyabung nyawa sendiri.

 Roselin (kanan) bersama cucu dan anak Penan lain berehat di Rumah Temuai, Batu Biah, Limbang.
BEREHAT: Roselin (kanan) bersama cucu dan anak Penan lain berehat di Rumah Temuai, Batu Biah, Limbang.

Klinik Kesihatan Long Napir merupakan nadi utama penduduk khususnya di kawasan pedalaman dan luar bandar di daerah Limbang ketika berdepan kekurangan prasarana asas termasuk jalan raya, bekalan elektrik, air dan kemudahan kesihatan lain.

Malah projek yang didambakan rakyat luar bandar itu pernah dikemukakan wakil rakyat di daerah Limbang kerap kali pada sesi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) sejak 2006.

Projek klinik itu sudah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) di bahagian Limbang dengan kos RM3 juta, di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia terdahulu.

Kemudahan kesihatan itu penting bagi masyarakat Penan memandangkan mereka terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi mencecah RM80 pergi dan balik untuk perbelanjaan pengangkutan bagi mendapatkan rawatan di Hospital Limbang.

 Masyarakat Penan menghuni sementara Rumah Temuai, Limbang.
PENEMPATAN SEMENTARA: Masyarakat Penan menghuni sementara Rumah Temuai, Limbang.

Kerja pembersihan tapak klinik itu sudah dimulakan oleh kontraktor yang dilantik sebelum ini  dan apabila dibina nanti ia bakal dinikmati penduduk Penan bukan saja di kawasan Long Napir malah membabitkan 11 buah perkampungan luar bandar berhampiran.

Berdasarkan spesifikasi projek sebelum ini, kerja pembinaan Klinik Kesihatan Long dijangka siap sepenuhnya sebelum 2018 melalui Kementerian Kesihatan dengan menyediakan fasiliti perubatan selain menempatkan pegawai kesihatan di klinik itu nanti.

Namun menghampiri penghujung tahun 2018, penduduk kecewa kerana kerja-kerja pembinaan masih tidak dapat dilakukan dan mimpi ngeri lebih 20 tahun kini berulang.

“Tiada siapa yang tahu kesusahan yang kami hadapi lebih 20 tahun untuk meneruskan hidup lebih-lebih lagi ketika berdepan masalah kesihatan kronik,” jelas Lisa Dun, 70, penduduk dari Long Balau, Baram.

Jelasnya walaupun berasal dari Baram, beliau dan keluarga lain akan turun ke bandar Limbang yang memakan masa selama empat jam berbanding turun ke Baram, Miri yang mengambil masa perjalanan sehari setengah.

Katanya, isu kesihatan amat penting bagi penduduk Penan merangkumi 11 buah kampung di Hulu Sungai Limbang.

Kampung-kampung Penan merangkumi Kampung Bahagia (130 penduduk), Katardam dengan penduduk berjumlah 40 orang, Long Rayeh (48 orang), Long Sulung (102 orang), Long Keneng (39 orang), Long Adang (59 orang), Sungai Rutoh (3 orang), Long Tagaan (65 orang) dan Long Presek/Gita dengan 65 penduduk berdasarkan maklumat yang diperolehi pada Program Mobile Team (MT) 2016 di bawah Kementerian Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Masyarakat Sarawak.

Lisa berkata lagi, kerajaan perlu menyiapkan pembinaan klinik baharu itu dengan segera disebabkan keperluan mendesak penduduk Penan di luar bandar.

“Ketiadaan klinik kesihatan amat membebankan khususnya bagi pesakit seperti saya yang sering mendapatkan rawatan susulan di Hospital Limbang.

“Kami amat berharap agar Klinik Kesihatan Long Napir dapat dibina di kawasan penempatan kami sekali gus memberi manfaat kepada penduduk kampung terutamanya.

Beliau turut bersimpati dengan kesulitan yang dihadapi penduduk lain kerana terpaksa mendapatkan rawatan ke hospital yang agak jauh.

Selain Lisa, rintihan sama turut diluahkan anaknya Mohd Sulaiman Abdullah, 40, yang turut  mendambakan sebuah klinik kesihatan untuk dibina di Long Napir.

“Kami terpaksa membelanjakan RM80 ulang-alik ke bandar Limbang bagi mendapatkan rawatan ke Hospital Limbang,” ujarnya.

Jumlah itu menurutnya agak membebankan untuk penduduk Penan yang mempunyai anak  ramai kerana kebanyakan mereka tidak mempunyai pendapatan tetap dan bergantung kepada hasil hutan.

Paling memeritkan kongsi beliau, penduduk juga terpaksa menunggu selama dua hingga tiga hari untuk mendapatkan kenderaan turun ke bandar Limbang walaupun mereka berdepan masalah kesihatan yang kronik.

 Rumah Temuai yang sudah uzur dan rosak perlu perhatian pihak berwajib.
PENTING: Rumah Temuai yang sudah uzur dan rosak perlu perhatian pihak berwajib.

“Kami (kaum Penan) bukan mampu untuk memiliki kereta, pendapatan tidak cukup dan perlu  berunding dengan syarikat balak untuk mendapatkan kenderaan ke bandar,” katanya.

Akibatnya katanya, ada penduduk yang meninggal dunia di kampung mahupun dalam perjalanan sebelum sempat dirawat ke Hospital Limbang.

“Lebih malang ada penduduk yang meninggal dunia di kampung dan ketika dalam perjalanan sebelum sempat di hantar ke hospital Limbang,” luahnya lagi.

Sulaiman menjelaskan lagi kebanyakan kaum Penan yang turun ke bandar akan menetap sementara di rumah persinggahan kaum Penan iaitu Rumah Sakai@ Temuai yang dibina kerajaan di kawasan Batu Biah dekat Limbang.

Kemudahan rumah itu dibina bagi memudahkan kaum Penan mendapatkan rawatan di hospital mahupun menguruskan urusan penting ketika berada di bandar Limbang sebelum pulang ke kampung masing-masing.

“Syukur dengan adanya Rumah Sakai ini, kami boleh berteduh sementara selain memudahkan saya mendapatkan rawatan kesihatan untuk penyakit yang saya hidapi selain dapat menghantar ibu mendapatkan rawatan ke hospital yang terletak tidak jauh dari sini,” katanya.

Beliau turut memberitahu sudah menetap di Rumah Sakai sejak dua tahun bersama anak-anaknya yang bersekolah di bandar Limbang serta menjaga ibunya Roselin Deng, 71, yang kini terlantar sakit akibat asma dan penyakit lain.

Roselin merupakan penerima bantuan bulanan sebanyak RM200 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Limbang.

Bagaimanapun keadaan Rumah Sakai yang semakin uzur dan rosak itu tidak memberi keselesaan kepada kaum Penan yang menetap di sana.

Rumah Sakai yang mempunyai enam buah bilik itu turut berdepan kerosakan tandas, cermin dan dinding yang uzur.

Suasana panas turut dirasai di dalam rumah berkenaan kerana ketiadaan kipas menyebabkan  keadaan rumah tidak selesa bagi mereka.

Mereka berharap pihak kerajaan dapat menaik taraf Rumah Sakai yang menjadi rumah penempatan sementara mereka.

BERSAMBUNG