Anda di sini

Latihan uji kesiapsiagaan hadapi krisis di LTAK

Advertisement
 Anggota Unit Pencegah Rusuhan Awam (PORU) dikerah untuk menangani demonstrasi rusuhan yang dijalankan sempena Ex-Rampas LTAK 2018, semalam.
TINGKAT KESIAPSIAGAAN: Anggota Unit Pencegah Rusuhan Awam (PORU) dikerah untuk menangani demonstrasi rusuhan yang dijalankan sempena Ex-Rampas LTAK 2018, semalam.

KUCHING: Serangan ‘pengganas’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) menjadi babak menarik dalam Ex-Rampas LTAK 2018 yang diadakan bermula jam 4 petang semalam sehingga 2.20 pagi tadi.

Ini merupakan latihan kecemasan yang dijalankan oleh Malaysia Airports Berhad dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi-agensi keselamatan lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

‘Insiden’ bermula apabila sekumpulan 10 ‘pengganas’ bersenjatakan raifal dan pistol telah melepaskan tembakan secara rambang menyebabkan orang awam bertempiaran lari.

Dua ‘penumpang’ di hadapan pemeriksaan pas pelepasan turut ‘terbunuh’ terkena tembakan dan dua anggota Keselamatan Penerbangan (AVSEC) yang bertugas cuba meminta bantuan turut ditembak.

Kumpulan ‘pengganas’ terbabit juga menahan seramai 30 awam sebagai tebusan dan mengurung mereka di Bay 9, LTAK bagi menuntut pembebasan ketua ‘Gerila Pembebasan Borneo’ dari Penjara Puncak Borneo, selain turut meminta wang tunai AS$250 juta dan sebuah pesawat diisi minyak penuh serta juruterbang.

Segalanya berakhir apabila penggempuran telah dijalankan dan tiga ‘pengganas’ ditembak mati, tujuh ditangkap dan semua tebusan diselamatkan.

Menurut Ketua Polis Daerah (KPD) Kuching ACP Ng Ah Lek pada sidang media sempena Ex-Rampas LTAK 2018 di kawasan letak kereta LTAK semalam, latihan tersebut adalah platform untuk menguji kesiapsiagaan, respons dan tindakan agensi-agensi terlibat dalam menghadapi krisis ketenteraman awam.

“Latihan amali ini adalah untuk menguji keberkesanan agensi-agensi terlibat dalam menghadapi krisis seperti itu,” katanya.

Manakala, Pengurus Kanan LTAK Jun Iskandar Murshidi menyifatkan latihan yang pertama kali diadakan di LTAK itu telah berjalan dengan lancar tanpa menjejaskan operasi di lapangan terbang berkenaan.

“Tiada gangguan berlaku di mana operasi adalah terkawal dan jadual penerbangan juga tidak terjejas,” katanya.

Ex-Rampas LTAK 2018 bermula sekitar jam 9.30 pagi semalam, dengan mengadakan demonstrasi rusuhan oleh kira-kira 30 kakitangan sebuah syarikat penerbangan.

Rusuhan tersebut dilakukan kerana mereka tidak berpuas hati dengan tawaran yang diberikan oleh syarikat, namun tindakan mereka yang semakin agresif menyebabkan polis terpaksa menurunkan pasukan Unit Pencegah Rusuhan Awam (PORU) bagi menyuraikan mereka.

Ia disusuli dengan insiden ‘letupan’ di kawasan letak kereta LTAK pada sekitar jam 11.30 pagi yang menyebabkan empat kakitangan pembersihan dan tiga anggota AVSEC telah ‘cedera’ dan seorang ‘meninggal dunia.’

  • oleh
  • Advertisement