Anda di sini

KWSP selaras caruman bulanan dengan gaji minimum baharu

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Semua caruman minimum majikan dan pekerja kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan diselaras mengikut Perintah Gaji Minimum (Pindaan) 2018 sebanyak RM1,100 bagi Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak, bermula 1 Jan, 2019.

Dalam satu kenyataan semalam, KWSP berkata menerusi langkah itu, caruman minimum sebanyak RM264 dijangka diterima daripada setiap pekerja yang mendapat gaji bulanan, tertakluk kepada khidmat penuh selama sebulan.

Caruman minimum yang berbeza bagaimanapun akan membabitkan ahli yang menerima bayaran gaji pada asas mingguan, harian atau jam.

Notis berkaitan perkara itu telah dihantar kepada semua ahli berdaftar dan pihak KWSP akan bekerjasama erat dengan majikan untuk memastikan kelancaran dasar berkenaan.

“Pelarasan gaji minimum itu sepatutnya dapat membantu ahli KWSP mencapai jumlah simpanan mencukupi bagi tujuan persaraan selain dapat meningkatkan daya tahan kewangan mereka pada masa depan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Alias.

Beliau berkata sebanyak 1.64 juta atau 23 peratus daripada 7.11 juta ahli aktif KWSP mencarum kurang daripada gaji minimum semasa iaitu sebanyak RM1,000.

Statistik KWSP menunjukkan 64 peratus ahlinya yang telah mencapai usia 54 tahun memiliki simpanan kurang RM50,000 yang tidak setimpal dengan peningkatan kos sara hidup dan hutang isi rumah.

“Gaji kecil, terutama dalam kalangan mereka yang berpendapatan rendah adalah antara punca utama yang menyaksikan ramai pekerja Malaysia bersara dengan jumlah simpanan yang tidak mencukupi,” katanya.

Sehubungan itu, Tunku Alizakri berkata KWSP akan turut menyediakan khidmat nasihat persaraan secara percuma untuk majikan, termasuk pegawai yang bertanggungjawab menguruskan hubungan majikan dengan KWSP. — Bernama

Advertisement