Anda di sini

Kesiapsiagaan warga Medan Timur Tentera Darat sentiasa diberi perhatian: Zamrose

Advertisement
 Zamrose (dua kiri) menaiki kenderaan khas memeriksa perbarisan sempena Majlis Perintah Ulung Panglima Medan Timur Tentera Darat di Kem Muara Tuang semalam.
BERSEMANGAT: Zamrose (dua kiri) menaiki kenderaan khas memeriksa perbarisan sempena Majlis Perintah Ulung Panglima Medan Timur Tentera Darat di Kem Muara Tuang semalam.

KOTA SAMARAHAN: Kesiapsiagaan warga Medan Timur Tentera Darat sentiasa diberi perhatian dalam usaha memastikan keselamatan dan pertahanan negara terutama Sabah dan Sarawak berada di tahap tertinggi.

Pangliman Medan Timur Leftenan Jeneral Datuk Wira Zamrose Mohd Zain berkata, keupayaan, pemerkasaan imej dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap Tentera Darat khasnya dan Angkatan Tentera Malaysia amnya sebagai perisai negara sentiasa menjadi keutamaan.

“Ia juga bagi mendukung aspirasi dan hasrat panglima Angkatan Tentera dan panglima Tentera Darat dalam memastikan kita menjadi sebuah angkatan dihormati dan disegani serta sentiasa bersedia memastikan keselamatan dan pertahanan negara ini berada dalam keadaan tertinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perbarisan Perintah Ulung Panglima Medan Timur Tentera Darat di Padang Kawad Kem Muara Tuang di sini semalam.

Pada masa sama Zamrose mahu perintah ulungnya itu dijadikan teras panduan dalam pengurusan pasukan dan warga tentera demi menjadikan Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat sebuah ketumbukan yang dipercayai, cekap bertindak, dinamik dan mampu mengeksploitasi teknologi demi agama, bangsa dan negara.

“Saya juga menyeru seluruh warga tentera di bawah naungan Pemerintahan Timur untuk bersama memberi penekanan kepada rangkuman teras utama Perintah Ulung Panglima Angkatan Tentera dan Perintah Ulung Panglima Tentera Darat iaitu angkatan profesional, ketumbukan siap siaga, keutuhan organisasi dan memperkasakan kualiti hidup dengan mengamalkan ASAS (Amal, Sistem Pemerintahan Renjimental, Adaptasi dan Siap siaga),” tegasnya.

Selain itu, beliau turut menyarankan pendekatan ‘kembali kepada asas’ dan bangga menjadi anggota tentera dijadikan amalan setiap warga Medan Timur.

Sehubungan itu katanya, Tentera Darat merancang untuk mengadakan Latihan Medan Peringkat Briged di kedua-dua Pemerintahan Medan yang akan dilaksanakan serentak pada 2019 sebagai aktiviti utama Hari Ulang Tahun Tentera Darat.

“Di samping itu, selaras dengan tuntutan semasa, panduan strategik ‘TD Army 2 10+10’ akan digantikan dengan ‘Army 4 Next G’ menjurus kepada memperlengkapkan ketumbukan Tentera Darat di seluruh negara,” ujarnya.

Perbarisan itu disertai 162 pegawai dan 1,516 anggota lain-lain pangkat daripada pasukan di bawah naungan Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat.

Upacara perbarisan diketuai Pegawai Memerintah 4KAD Leftenan Kolonel Shamzaini Misran.

Advertisement