Anda di sini

Kesempitan hidup keluarga mangsa letupan gas menyentuh hati

Advertisement
 Fah Hin ketika ditemui di rumahnya, semalam.
SEDIH: Fah Hin ketika ditemui di rumahnya, semalam.

KUCHING: Tragedi yang menimpa Tchee Kiom Jong, 25, yang terkorban dalam insiden letupan gas di pusat beli-belah CityONE Selasa lepas, kian menyentuh hati susulan perkongsian video temu bual bapanya Tchee Fah Hin, 66, di Utusan Borneo Online.

Lebih menyedihkan apabila video berdurasi kira-kira 11 minit itu turut memaparkan keadaan rumah mereka yang usang di Lorong 39, Jalan Stutong Baru di sini disebabkan kesempitan hidup.

Fah Hin yang ditemui pemberita semalam memberitahu, anak-anaknya sudah berusaha untuk memperbaiki kehidupan mereka termasuk mencuba pelbagai pekerjaan.

“Rumah ini sama umur dengan dia (Kiom Jong), memang sudah hampir roboh sebab kami bukan keluarga yang senang, anak-anak saya juga sudah berusaha dan buat macam-macam kerja untuk memperbaiki kehidupan kami.

“Termasuk dia (Kiom Jong) yang sebelum ini pernah mencuba nasib di Singapura selama dua tahun, tetapi pulang selepas itu kerana mahu menjaga saya di sini selepas saya diserang penyakit (lemah kedua-dua kaki),” ujarnya.

 Keadaan rumah keluarga mangsa yang usang di Lorong 39, Jalan Stutong Baru, Kuching.
USANG: Keadaan rumah keluarga mangsa yang usang di Lorong 39, Jalan Stutong Baru, Kuching.

Fah Hin berkata, mangsa juga pernah membuka gerai nasi ayam sebelum menyertai syarikat kerja-kerja perpaipan.

“Dia ada menjual nasi ayam sebelum ini, tetapi pendapatannya tidak menentu menyebabkan dia nekad untuk bertukar kerja yang boleh memberi pendapatan tetap setiap bulan bagi menyara dirinya dan saya,” katanya.

Fah Hin yang sedih dengan kematian anak bongsunya itu memberitahu, dia menerimanya sebagai takdir dan ketentuan Tuhan.

Tambahnya, sehingga petang semalam, beberapa individu yang mendakwa daripada pihak kerajaan dan badan bukan kerajaan telah melawatnya di rumah.

 Dr Sim (kiri) menemui ahli keluarga Kiom Jong.
KONGSI KESEDIHAN: Dr Sim (kiri) menemui ahli keluarga Kiom Jong.

“Ramai yang datang ke sini (rumah) dan ada juga yang mendakwa daripada pihak kerajaan dan menyuruh saya mengisi borang.

“Ada juga kawan-kawan dan ahli keluarga serta individu yang tidak dikenali datang untuk menyalurkan bantuan seperti wang tunai dan makanan kepada saya,” katanya yang amat berterima kasih terhadap keprihatinan orang ramai.

Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawa Datuk Dr Sim Kui Hian turut hadir memberikan sumbangan peribadi kepada keluarga mangsa di sebuah pusat ibadah di Jalan Sungai Tapang di sini di mana mayat mangsa ditempatkan.

Difahamkan, sehingga petang semalam, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) berjaya mengumpulkan sekurang-kurangnya RM12,000 untuk tabung sumbangan yang akan disampaikan kepada waris mangsa tragedi letupan gas di CityONE.

Sementara itu, difahamkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menziarahi Fah Hin di rumahnya pagi semalam.

Semasa lawatan itu, mereka menyampaikan bantuan makanan serta wang tunai sebagai bantuan menguruskan pengebumian.

Jabatan itu juga akan menguruskan Bantuan Orang Tua untuk beliau.

Advertisement