Anda di sini

Icardi tidak sabar berdepan Ronaldo di Turin

Advertisement
 Icardi (depan) bersaing dengan pemain Tottenham Hotspurs, Jan Vertonghen pada perlawanan Kumpulan B Liga Juara-Juara di Stadium Wembley, London pada 28 November lepas. — Gambar Reuters
PRESTASI HEBAT: Icardi (depan) bersaing dengan pemain Tottenham Hotspurs, Jan Vertonghen pada perlawanan Kumpulan B Liga Juara-Juara di Stadium Wembley, London pada 28 November lepas. — Gambar Reuters

MILAN, Itali: Mauro Icardi berkata beliau tidak sabar untuk menilai kemampuan dirinya sendiri apabila berdepan Cristiano Ronaldo buat kali pertama ketika Inter Milan bertandang ke Turin untuk menentang Juventus dan cuba memberikan kekalahan pertama buat juara bertahan dalam aksi Serie A Itali hari ini.

Juventus menguasai takhta liga musim ini sejak ketibaan Ronaldo, dan mencipta rekod permulaan dengan 40 mata selepas 14 perlawanan pertama liga.

Napoli di tangga kedua – ketinggalan lapan mata – dengan Inter kurang 11 mata di tangga ketiga.

Kekalahan untuk Inter pastinya menjejaskan cita-cita mereka untuk merapatkan kedudukan dan bersaing kejuaraan liga dan memberikan peluang kepada Juventus untuk memenangi kejuaraan liga buat kali kelapan berturut-turut.

“Saya bermain menentang Juventus banyak kali tetapi kali ini adalah yang paling penting sejak saya berada di sini,” kata Icardi.

“Saya tidak mahu keputusan seri. Kami akan pergi ke sana tanpa gentar.

“Saya tidak sabar untuk menghadapi Cristiano Ronaldo, ia sangat menarik untuk menentang beliau. Tetapi beliau bukan masalah kami, (pemain pertahanan) Stefan de Vrij dan Milan Skriniar juga ada di sana.”

Icardi, 25, berada dalam prestasi yang baik musim ini, menjaringkan lapan gol liga dan 11 gol dalam semua pertandingan sementara Ronaldo, 33, menjaringkan 10 gol liga dan 11 gol keseluruhan bersama Juventus.

Kali terakhir Inter menang di Turin ialah pada November 2012.

Tetapi Presiden Inter, Steven Zhang, menegaskan pasukannya “sentiasa yakin”.

“Kami bersedia untuk perlawanan. Kami meningkat dan bermain dengan baik, setiap musim kami cuba memperbaiki prestasi berbanding sebelum ini.”

Jurulatih Inter, Luciano Spalletti juga mempunyai perhatian untuk perlawanan penting Liga Juara-Juara menentang PSV Eindhoven di San Siro, dengan pemain tengah, Radja Nainggolan masih merawati kecederaan buku lali.

Juventus sudah mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua Liga Juara-Juara menjelang perlawanan menentang Young Boys di Switzerland minggu hadapan.

Tetapi Ronaldo berharap untuk membuktikan sesuatu selepas gagal memenangi anugerah Ballon d’Or buat kali keenam, yang dimenangi bekas rakan sepasukannya di Real Madrid, Luka Modric.

Jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri percaya ia akan menambah motivasi kepada Ronaldo.

“Motivasi beliau sekarang ialah untuk memenanginya tahun hadapan bersama Juventus,” kata Allegri.

“Ia perlawanan tumpuan tahun ini kerana pertembungan menentang Inter sentiasa yang paling sukar untuk memenangi kejuaraan liga.”

Napoli akan cuba mengekalkan jurang dengan Juventus apabila menanti kunjungan pasukan tercorot, Frosinone sebelum perlawanan penting Liga Juara-Juara menentang Liverpool.

AC Milan akan cuba mengukuhkan di tangga keempat apabila menentang Sampdoria pada perlawanan hari Ahad sementara AS Roma akan menentang Cagliari dengan harapan untuk melakukan kebangkitan selepas ketinggalan 20 mata di belakang Juventus. — AFP

Advertisement