Anda di sini

Empat terpilih lanjut pelajaran, karier bola sepak bagi 2019

Advertisement
 (Dari kanan) Hazry bersama Ahmad Daniel, Muhammad Asyraf, Muhammad Aniq, Wan Deniel dan Penyelaras Daerah NFDP Sarawak Zanawi Zen semasa Majlis Penyerahan Surat Tawaran ke Akademi Bola Sepak Gambang dan Sekolah Sukan Ibrahim Fikri.
TAHNIAH: (Dari kanan) Hazry bersama Ahmad Daniel, Muhammad Asyraf, Muhammad Aniq, Wan Deniel dan Penyelaras Daerah NFDP Sarawak Zanawi Zen semasa Majlis Penyerahan Surat Tawaran ke Akademi Bola Sepak Gambang dan Sekolah Sukan Ibrahim Fikri.

KUCHING: Program Pembangunan Bola Sepak Negara Negeri Sarawak atau lebih dikenali sebagai NFDP Sarawak meneruskan kecemerlangan program apabila seramai empat pelatih telah terpilih melanjutkan pelajaran dan karier bola sepak bagi 2019.

Pelatih-pelatih tersebut terdiri daripada Ahmad Daniel Razali ke Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari, Gambang Pahang manakala Muhammad Asyraf Ezany Sabu, Muhammad Aniq Aiman Bin Yusri dan Wan Deniel Afizie Wan Nazaruddin ke Sekolah Sukan Ibrahim Fikiri, Terengganu di bawah Program Pembangunan Bola Sepak Malaysia.

Setelah lapan tahun program ini bertapak di Sarawak bermula pada 2010 sehingga sekarang, NFDP Sarawak telah melahirkan pemain negara seperti Awang Faiz Awang Fathi mewakili Malaysia AFF U19 dan JDT2 setelah melanjutkan pelajaran di Sekolah Sukan Bukit Jalil.

Manakala, Mohd Haziq Rahimi pernah mewakili Malaysia U16 dan sekarang bermain bersama kelab PKNP FC, Perak dan merupakan pelajar di Sekolah Sukan Malaysia, Pahang.

Mereka ini merupakan pelatih pertama NFDP Sarawak 2010-2011.

Kesinambungan program tersebut diteruskan lagi apabila seorang pelatih iaitu Zaim Maslan terpilih ke Sekolah Sukan Malasyia, Bukit Jalil pada tahun 2015 dan bermain untuk pasukan Malaysia B U16.

Seterusnya, tiga pelatih telah terpilih pada tahun 2016 iaitu Mohd Nasyaruddin Jaapar Sidek, Mohd Nazrul Azizi Mohd Kindang dan Casey Lipa Edward untuk pasukan Malaysia U15 di bawah Projek Pembangunan Bola Sepak Malaysia di Sekolah Sukan Ibrahim Fikri, Terengganu.

Pada tahun 2016, Ramund Bennet, Harith Danielle Abdullah, Ainur Aiqal Ayub terpilih ke Akademi Mokhtar Dahari, Pahang dan Alif Aiman Mohamad ke Akademi Mokhtar Dahari 2017 sehingga sekarang.

Ketua NFDP Sarawak, Hazry Abdullah berkata kerjasama serta komitmen tinggi Penyelaras Daerah NFDP Sarawak, Penolong Penyelaras NFDP Sarawak serta jurulatih-jurulatih Akademi Tunas NFDP Sarawak di Kuching, Samarahan, Bintulu dan Miri banyak membantu merealisasikan matlamat serta visi program Pembangunan Bola Sepak Negara.

Sehubungan itu, beliau berharap banyak lagi pelatih-pelatih yang berprospek tinggi dapat dilahirkan melalui kerjasama Persatuan Bola sepak Sarawak, Perbadanan Sukan Sarawak dan Majlis Sukan Negeri Sarawak di bahagian lain bagi memastikan Program Pembangunan Bola Sepak Negara bertapak selain bahagian Kuching, Samarahan, Bintulu dan Miri.

NFDP Sarawak juga mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Pendidikan Sarawak, Sekolah-Sekolah, Penaja Program untuk Negeri Sarawak serta ibu bapa dan penjaga yang terlibat dalam program tersebut sehingga sekarang kerana sentiasa komited menghantar pelatih-pelatih hadir latihan tiga kali seminggu demi karier bola sepak mereka.

Advertisement