Anda di sini

Eksekutif tertinggi Huawei ditangkap di Kanada

Advertisement
MENG
MENG

OTTAWA: Seorang eksekutif tertinggi yang juga anak perempuan pengasas syarikat telekom gergasi di China, Huawei, telah ditangkap di Kanada dan berdepan dengan ekstradisi ke Amerika Syarikat (AS), kata pegawai semalam, yang menimbulkan kemarahan Beijing beberapa hari selepas gencatan perang dagangan dengan AS.

Meng Wanzhou, ketua pegawai kewangan Huawei, ditahan selepas pihak berkuasa AS dilaporkan melancarkan siasatan ke atas Huawei yang disyaki melanggar sekatan ke atas Iran.

Huawei sebelum ini sudah dipantau oleh pegawai pe-risikan AS yang menganggap syarikat itu sebagai ancaman kepada keselamatan negara.    

Penangkapan itu menim-bulkan ketegangan sejurus selepas AS dan China menyetujui gencatan dalam perbalahan dagangan mereka sementara perunding cuba memeterai perjanjian dalam tempoh tiga bulan.

Berita mengenai penahanan Meng menggegarkan pasaran saham di Asia, khususnya Shanghai dan Hong Kong, dengan syarikat teknologi antara yang paling teruk terjejas.

Pada waktu tengah hari, Shanghai turun sebanyak 1.3 peratus manakala Hong Kong turun sebanyak 2.6 peratus.

“China sedang berusaha dengan kreatif untuk melemahkan kepentingan ke-selamatan negara kita, dan AS serta sekutu kita tidak boleh duduk di tepi,” Senator AS Ben Sasse menyebut dalam satu kenyataan yang mengaitkan penangkapan itu dengan sekatan AS ke atas Iran.

“Kadang-kadang keagresifan China jelas ditaja oleh kerajaan dan kadang-kadang ia dilabur secara haram me-nerusi kebanyakan entiti sektor Beijing yang kononnya swasta tetapi  bersekongkol dengan parti komunis (Presiden) Xi (Jinping),” ujarnya.

Meng ditangkap di bandar raya barat Vancouver pada 1 Disember lepas, kementerian keadilan Kanada menyebut dalam satu kenyataan.

Kementerian itu berkata AS memohon ekstradisinya dan beliau berdepan dengan pendengaran ikat jamin pada hari ini (Jumaat), dan menambah ia tidak dapat memberi maklumat lanjut kerana larangan penerbitan yang dipohon oleh Meng, anak kepada pengasas Huawei, Ren Zhengfei, seorang bekas jurutera dalam Tentera Pembebasan Rakyat China.

Penangkapan itu berlaku pada hari yang sama Presiden AS Donald Trump dan Xi menyetujui gencatan dalam perang dagangan di satu sidang kemuncak di Argentina.

Kedutaan China di Ottawa menuntut pembebasan Meng.

“Pihak China menentang dengan tegas dan membantah sekeras-kerasnya tindakan sedemikian yang secara serius mencabul hak asasi mangsa,” kedutaan itu menyebut dalam satu kenyataan.

“Pihak China telah mengemukakan bantahan yang tegas dengan pihak AS dan Kanada, dan menggesa kepada mereka untuk segera memperbe-tulkan salah laku itu dan mengembalikan kebebasan Cik Meng Wanzhou.”

Huawei berkata ia tidak tahu-menahu tentang sebarang salah laku oleh Meng dan diberi “sangat sedikit maklumat” tentang tuduhan yang dibuat.

“Huawei mematuhi semua peraturan dan undang-undang yang terpakai di mana ia beroperasi, termasuk peraturan dan undang-undang sekatan dan kawalan eksport PBB, AS dan EU yang terpakai,” syarikat itu menyebut dalam satu kenyataan.

Akhbar The Wall Street Journal melaporkan pada April lalu bahawa Jabatan Keadilan AS telah membuka siasatan ke atas Huawei yang disyaki melanggar sekatan terhadap Iran.

Akhbar The New York Times berkata syarikat itu disepina oleh Jabatan Perdagangan dan Jabatan Perbendaharaan ekoran dakwaan tentang pelanggaran ke atas sekatan terhadap Iran dan Korea Utara.  

Huawei merupakan salah satu penyedia perkhidmatan dan peralatan telekomunikasi terbesar di dunia. — AFP

Advertisement