Anda di sini

Demi modal insan Sarawak

 Abang Johari menyampaikan skrol kepada salah seorang graduan PPKS/i-CATS pada Majlis Konvokesyen PPKS/i-CATS Ke-21 di BCCK, semalam. Turut kelihatan Abdul Aziz (kiri).
TAHNIAH: Abang Johari menyampaikan skrol kepada salah seorang graduan PPKS/i-CATS pada Majlis Konvokesyen PPKS/i-CATS Ke-21 di BCCK, semalam. Turut kelihatan Abdul Aziz (kiri).

KUCHING: Kerajaan Sarawak melalui Yayasan Sarawak menawarkan pinjaman terus kepada pelajar yang mengikuti kursus di Kolej Antarabangsa Teknologi Lanjutan Sarawak (i-CATS).

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang juga Pengerusi Yayasan Sarawak berkata, usaha itu dilakukan memandangkan modal insan begitu penting untuk membangunkan ekonomi negeri.

“Saya telah membuat keputusan bahawa setiap pelajar kita yang mengikuti kursus di i-CATS akan diberi pinjaman terus daripada kerajaan negeri melalui Yayasan Sarawak.

“Ini bermakna setiap pelajar kita yang diterima masuk oleh i-CATS untuk kursus di peringkat diploma dan peringkat ijazah, Yayasan Sarawak akan memberikan pinjaman terus kepada mereka untuk meneruskan pengajian,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS)/i-CATS Ke-21 yang dihadiri Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dato Sri Michael Manyin dan Pengerusi PPKS merangkap Presiden i-CATS Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.

Tambah Abang Johari, dengan demikian ia memudahkan para pelajar mendapatkan tajaan atau pinjaman bagi meneruskan pengajian mereka.

“Dalam erti kata lain, anda tidak perlu susah payah memohon tajaan. Sebaik sahaja anda diterima ke i-CATS, kerajaan negeri melalui Yayasan Sarawak akan memberi anda (pelajar) pinjaman terus,” katanya.

Sementara itu, beliau menggesa anak muda khasnya graduan di negeri ini agar mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris kerana ia amat penting.

Abang Johari berkata, diakui bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi negara dan ia terkandung dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

“Namun penguasaan bahasa lain selain daripada bahasa Melayu turut menjadi aspek utama dalam membolehkan seseorang graduan mempunyai kadar kebolehpasaran yang tinggi.

“Bahasa Inggeris telah menjadi bahasa kepada peradaban ilmu seperti sains, perubatan malah sekarang menjadi bahasa perantara bagi ekonomi digital dan Revolusi Industri 4.0.

“Selaras dengan ini, para graduan seharusnya menguasai bahasa Inggeris bagi menghadapi peredaran masa dan keperluan pekerjaan sekarang,” tegasnya.

Tambahnya, para graduan seboleh-bolehnya tidak berasa kekok apabila perlu berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dalam aktiviti-aktiviti tertentu, termasuk mengikuti kursus mahupun seminar di peringkat antarabangsa berkaitan dengan kerjaya mereka.

Sementara itu Abdul Aziz dalam ucapannya berkata, dalam era kini iaitu Revolusi Indudtri 4.0, aplikasi teknologi digital dalam semua sektor termasuk pendidikan teknikal turut diberi keutamaan.

Katanya, PPKS perlu menerima Industri 4.0 agar PPKS terus relevan kepada pelajar dan industri khsusnya.

“PPKS perlu menghasilkan Graduan Kalis Masa Depan (Future Proof Graduates) Industri 4.0 menjelang 2030.

“Bermula pada 2017, PPKS yang berperanan sebagai Pusat Kecemerlangan Dalam Teknologi Maklumat (CoET) giat menawarkan kursus-kursus berpaksikan kepada pihak industri di Sarawak,” katanya.

Semalam, seramai 1,107 graduan menerima sijil dan diploma masing-masing selepas berjaya menamatkan pengajian dalam pelbagai bidang.