Anda di sini

Beri kerjasama penuh siasatan insiden letupan

Advertisement
 Raymond pada sidang media bagi mengulas lanjut insiden malang melibatkan restoran francais Nene Chicken di CityOne.
TAMPIL: Raymond pada sidang media bagi mengulas lanjut insiden malang melibatkan restoran francais Nene Chicken di CityOne.

KUCHING: NeNe Chicken Malaysia (NeNe Chicken) mahu terlibat sama dalam siasatan yang sedang dijalankan berhubung insiden letupan melibatkan restoran francais syarikat itu di pusat beli belah CityOne yang berlaku Selasa lalu.  

Pengarah Urusannya Raymond Wong berkata, ini penting kerana insiden malang itu turut melibatkan kakitangannya dan pihak pengurusan mengalami kesukaran memberi penjelasan kepada ahli keluarga mangsa yang terlibat.

“Saya terus mengambil penerbangan ke Kuching sebaik menerima berita berhubung kejadian ini dan mendapati seorang kakitangan kami (Chin Hsien Loong) antara mangsa yang meninggal dunia akibat insiden tersebut,” katanya ketika ditemui selepas sidang media di sebuah hotel terkemuka di sini semalam.

Raymond memberitahu, mayat mendiang Chin telah diuruskan dan telah dihantar pulang ke Pulau Pinang semalam.

Walaupun demikian, beliau menegaskan, pihaknya secara proaktif meminta untuk mengadakan pertemuan dengan Jabatan Polis dan pasukan forensik Jabatan Bomba sebagai pemberi lesen utama, untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang insiden itu.

“Kami sudah memaklumkan kepada penyiasat perkara yang telah disampaikan oleh kakitangan kami sendiri, di mana dua daripada mereka cedera serius dalam insiden itu.

“Kami juga sudah menghubungi pemegang lesen untuk memberikan kepada kami dokumentasi yang perlu kerana kami juga dalam proses menjalankan siasatan dalaman kami sendiri,” ujarnya.

Justeru, beliau menegaskan bahawa pihaknya sentiasa komited membantu mangsa dan keluarga mereka pada waktu yang amat traumatik ini.

Mengulas lanjut peranan NeNe Chicken di Malaysia Timur terutama membabitkan outlet di CityOne, beliau menjelaskan bahawa pihaknya terbatas kepada menyediakan konsep restoran serta pelan dan manual berkaitan kepada pemegang lesen outlet di CityOne Megamall.

“Pelantikan kontraktor dan orang lain yang terlibat dalam pemasangan di restoran itu, khususnya di dapur, diatur sepenuhnya oleh pemegang lesen kami di CityOne dan bukan dalam bidang kuasa atau skop kami.

“Sudah tentulah keselamatan sentiasa menjadi keutamaan tertinggi kami, bagaimanapun, oleh kerana kami tidak terbabit dalam pemasangan atau pengubahsuaian dapur, kami tidak dilibatkan oleh pihak berkuasa dalam siasatan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihakya sedaya upaya mendapatkan penjelasan dan maklumat lebih terperinci berhubung insiden tersebut dan maklumat terkini yang diterima daripada pihak berkuasa ialah siasatan masih dijalankan.

“Kami ingin menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga tiga mangsa yang terkorban dan mangsa lain yang cedera.

“NeNe Chicken Malaysia ingin menjelaskan bahawa kami sedang berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan lebih banyak maklumat tentang insiden letupan di CityOne,” katanya.

Dalam tragedi tersebut, seramai tiga lelaki meninggal dunia dikenali sebagai O Kui Lim,49 dari Batu Kawa, Tchee Kiam Jong,24 (Stutong, BDC) dan Chin Hsien Loong,29 dari Butterworth, Pulau Pinang.

Selain itu, tragedi berlaku sekitar jam 3.30 petang itu turut mengakibatkan 41 tercedera.

“Memandangkan insiden dahsyat ini begitu serius di mana tiga nyawa telah hilang dan puluhan mangsa cedera, kami turut menyeru  kepada pihak berkuasa agar mempercepatkan siasatan dan mengumumkan penemuan mereka kepada orang ramai secepat mungkin,” tegas Raymond.

  • oleh
  • Advertisement