Anda di sini

16 mayat pekerja pembinaan ditemui di Papua

Advertisement
 Mayat pekerja pembinaan, dibunuh oleh kumpulan pemisah, dilihat diusung dari helikopter tentera di Lapangan Terbang Mozes Kilangin Timika di Papua semalam. — Gambar AFP
DIBAWA PULANG: Mayat pekerja pembinaan, dibunuh oleh kumpulan pemisah, dilihat diusung dari helikopter tentera di Lapangan Terbang Mozes Kilangin Timika di Papua semalam. — Gambar AFP

WAMENA: Pasukan keselamatan Indonesia mengeluarkan mayat 16 orang ekoran pembunuhan beramai-ramai yang disyaki dilakukan oleh kumpulan pemisah di wilayah Papua yang bergolak, kata tentera semalam.

Kematian yang disahkan itu, dipercayai membabitkan pekerja pembinaan, menandakan keganasan paling berdarah sejak sekian lama di wilayah yang sedang mengalami pemberontakan kemerdekaan peringkat rendah.

Mayat berkenaan akan dipindahkan ke bandar Timika dari daerah terpencil Nduga, sebuah wilayah bergunung-ganang di mana serangan berlaku Ahad lepas, kata komander tentera tempatan Binsar Panjaitan.

“Maklumat terbaharu ialah 16 mayat sudah dijumpai,” kata Panjaitan kepada pemberita di Papua.

Mangsa yang terkorban belum lagi dikenal pasti dan tentera tidak memberi butiran tentang bagaimana mereka dibunuh.

Satu laporan saksi sebelum ini yang diberikan oleh tentera memperincikan pembunuhan sekurang-kurangnya 19 orang, termasuk tembakan ala hukuman mati atau dikelar leher.

Laporan media tempatan sebelum ini menganggarkan jumlah kematian antara 24 hingga 31.

Semalam tentera memberi amaran bahawa ia belum lagi jelas sama ada kesemua mangsa yang dibunuh bekerja untuk sebuah kontraktor milik kerajaan yang telah membina jambatan dan jalan sebagai sebahagian daripada usaha untuk merangsang infrastruktur di wilayah yang mundur itu.

Seramai 15 orang lagi – termasuk tujuh pekerja kontraktor terbabit – sudah dipindah-kan dari kawasan kejadian.

Ramai di Papua meng-anggap Indonesia sebagai penjajah dan kerja pembinaannya sebagai cara untuk meningkatkan lagi kawalan ke atas wilayah yang berkongsi sempadan dengan Papua New Guinea, sebuah negara yang merdeka.

Pasukan polis dan tentera yang dihantar ke kawasan berkenaan telah diserang oleh pemberontak dan seorang askar maut manakala dua lagi cedera sejak Isnin lepas, menurut pihak berkuasa.

Kelmarin, tentera memberikan laporan daripada seorang mangsa selamat yang dikenali dengan singkatan ‘JA’ yang mendakwa kira-kira 50 pemberontak memasuki kem pekerja pada Sabtu lepas dan membawa mereka dengan tangan diikat di belakang badan.

Pada keesokan hari, pemberontak itu menembak mati sekumpulan pekerja, manakala beberapa orang cuba melarikan diri, kata laporan itu.

Penyerang didakwa menangkap semula enam pekerja dan mengelar leher mereka, menurut saksi yang tidak cedera berkenaan selain me-nyatakan sekurang-kurangnya 19 pekerja telah dibunuh pada keseluruhannya.

Satu laporan Facebook yang dikatakan diurus oleh Tentera Pembebasan Nasional Papua Barat (TPNPB) berkata kumpulan bersenjata itu membunuh 24 pekerja atas arahan komander wilayah Ekianus Kogoya. — AFP

Advertisement