Anda di sini

Usahawan disaran tubuh koperasi jana modal perniagaan

Advertisement
 Mohd Redzuan (dua kanan) meyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir pada majlis penyerahan sumbangan kemasyarakatan bagi Parlimen Alor Gajah, kelmarin. Beberapa kawasan di Kampung Gadek, Kampung Beringin, Kampung Tanah Merah, Kampung Panchor dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat selama empat jam pada 19 November lepas. — Gambar Bernama
PRIHATIN: Mohd Redzuan (dua kanan) meyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir pada majlis penyerahan sumbangan kemasyarakatan bagi Parlimen Alor Gajah, kelmarin. Beberapa kawasan di Kampung Gadek, Kampung Beringin, Kampung Tanah Merah, Kampung Panchor dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat selama empat jam pada 19 November lepas. — Gambar Bernama

MELAKA: Usahawan di negara ini disaran menubuhkan koperasi untuk mengumpul modal bagi memulakan perniagaan dan tidak hanya bergantung kepada geran dan dana kerajaan, kata Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.

Katanya, ini kerana, koperasi mampu membentuk satu dana yang mencukupi untuk golongan usahawan memulakan perniagaan termasuk dalam industri minyak dan gas, sekali gus dapat bersaing secara lebih produktif.

“Sektor koperasi memainkan peranan penting kerana ia adalah ejen atau pemangkin kepada pembangunan usahawan terutama bagi sektor perusahaan kecil dan sederhana yang mana mereka boleh mengumpul dana secara bersama membabitkan ahli.

“Terbaharu, sektor minyak dan gas juga berpotensi dibangunkan menerusi penubuhan koperasi walaupun setakat ini tiada lagi kopeasi diwujudkan untuk tujuan ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Penutup Karnival Usahawan dan Koperasi Digital, di sini, kelmarin.

Mengulas lanjut, Mohd Redzuan berkata, penubuhan koperasi turut membantu usahawan meningkatkan kemahiran dari segi pentadbiran dan pengurusan kewangan agar matlamat penubuhannya mencapai sasaran selain perniagaan dijalankan mendapat keuntungan.

Selain itu katanya, penubuhan koperasi juga mampu melahirkan tenaga manusia berkemahiran menerusi pelbagai latihan dan pendidikan kerana ia menentukan pembangunan atau kejayaan sesebuah koperasi.

Sementara itu, Abdul Fattah berkata, sektor koperasi di negara ini digalak menceburi perniagaan berimpak tinggi dan menggunakan ekonomi digital sebagai peluang besar meningkatkan produktiviti serta pencapaian ekonomi sektor koperasi. — Bernama

Advertisement