Anda di sini

Siasat dengan cepat insiden letupan di CityONE: Baru

BARU
BARU

KUCHING: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja serta pihak agensi berkaitan digesa menjalankan siasatan mereka dengan cepat terhadap insiden letupan di pusat beli-belah CityONE kelmarin (Selasa).

Menteri Kerja Raya Baru Bian berkata, ia bagi memastikan sama ada terdapat sebarang perlanggaran prosedur keselamatan dan langkah-langlah pemulihan dapat diambil serta-merta.

“Saya terkejut mendengar berita tentang kejadian letupan di CityONE kelmarin (Selasa) dan sedih apabila mendapat tahu tragedi ini telah menyebabkan kematian tiga pekerja dan lebih 40 orang cedera.

“Justeru, saya bersimpati dengan keluarga mangsa atas kehilangan mereka. Saya turut dimaklumkan bahawa sebahagian daripada mangsa mengalami kecederaan parah dan berdoa agar mereka akan pulih sepenuhnya,” kata Baru dalam kenyataan medianya semalam.

Baru berkata, beliau enggan mengulas lanjut mengenai punca dan isu-isu berkaitan memandangkan siasatan masih dijalankan.

“Apa yang saya nak katakan, ketika melakukan kerja bangunan seperti pembinaan dan pengubahsuaian, kontraktor mesti memastikan bahawa para pekerja adalah terlatih dan berkelayakan,” katanya.

Dalam hal ini, ujarnya Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan di bawah Akademi Binaan Malaysia (ABM) perlu memainkan peranan.

“ABM menawarkan banyak kursus mengenai kemahiran vokasional dan teknikal dan oleh itu, saya menggalakkan golongan belia dan pekerja mendaftar dalam program ini bagi meningkatkan kemahiran mereka.

“Kontraktor juga digalakkan menghantar pekerja mereka dilatih dan diperakui. Dengan cara ini, kita dapat meningkatkan tahap kemahiran pekerja dan seterusnya menaikkan standard industri pembinaan kita,” katanya.

Dalam pada itu, Baru memuji pasukan penyelamat dan orang awam atas tindakan segera mereka dalam membantu mangsa yang cedera dan terperangkap dalam runtuhan selepas letupan tersebut.

“Sungguh menyentuh hati apabila orang ramai mengetepikan kebimbangan mereka untuk membantu mangsa yang cedera dalam tragedi ini sebelum ketibaan pasukan penyelamat,” katanya.