Anda di sini

Sejarah Sarawak harus ditulis sejarawan Sarawak

Advertisement
AHMAD MALIE
AHMAD MALIE

SIBU: Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melantik beberapa sejarawan dari Sarawak ke jawatankuasa yang ditugaskan mengkaji semula dan memperbaiki kurikulum subjek Sejarah dan buku teks.

Presidennya Ahmad Malie berkata, ini bertujuan memastikan kandungan kurikulum sejarah yang diajar di sekolah-sekolah lebih holistik dan tepat terutama yang melibatkan sejarah Sarawak.

Katanya, KGBS menyokong penuh usaha KPM untuk membentuk jawatankuasa ini seperti yang diumumkan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik baru-baru ini.

“KGBS berpendirian bahawa sudah tiba masanya kurikulum Sejarah dikaji semula dan diperbaiki dengan fakta-fakta holistik terutama melibatkan sejarah Sarawak.

“Dalam hal ini, KGBS menggesa KPM melantik beberapa ahli dari Sarawak ke jawatankuasa ini supaya kandungan kurikulum sejarah menjadi lebih tepat berbanding fakta yang ada ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Maszlee berhubung penubuhan jawatankuasa khas bagi meneliti dan memperbaiki semula kukurikulum sejarah dan buku teks.

Menurut Maszlee, jawatankuasa khas tersebut akan bekerjasama dengan jawatankuasa yang sedia ada serta ahli akademik dan pakar mengenai sejarah dalam negara ini dan luar negara.

Selain itu, kementeriannya juga akan mengadakan perbincangan dengan ahli sejarah untuk mendapatkan perspektif sejarah dengan naratif yang lebih segar dan produktif.

Dalam pada itu, Ahmad berkata terdapat segelintir penduduk Semenanjung Malaysia masih tidak faham bahawa Sarawak berada dalam Malaysia.

“Oleh itu, kadang-kadang kita mendengar segelintir rakyat di Semenanjung mengalu-alukan kedatangkan rakan-rakan Sarawak mereka dengan ungkapan ‘Selamat datang ke Malaysia’.

“Ini memang ironik untuk kita, rakyat Sarawak,” ujar beliau.

Justeru, KGBS yakin dengan pelantikan beberapa pakar sejarah dari Sarawak ke jawatankuasa tersebut pasti akan membantu jawatankuasa berkenaan memberi liputan tepat dan terbaik dalam sejarah Sarawak di Malaysia,” katanya

Katanya, penambahbaikan kurikulum sejarah akan membawa perubahan sejarah yang holistik tanpa mengetepikan fakta penting di Sarawak, yang wajar dikenal pasti oleh pelajar sekolah pada masa akan datang.

  • oleh
  • Advertisement