Anda di sini

Sarawak akan menyumbang kepada dana penyelidikan MPOB

Advertisement
 Kok bersalaman dengan Abang Johari semasa kunjungan hormat terhadap beliau di pejabatnya di Kompleks DUN semalam. Turut kelihatan Uggah (kiri).
KERJASAMA: Kok bersalaman dengan Abang Johari semasa kunjungan hormat terhadap beliau di pejabatnya di Kompleks DUN semalam. Turut kelihatan Uggah (kiri).

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan menyumbang kepada dana penyelidikan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di Sarawak, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Menurutnya, inisiatif tersebut merupakan usaha Kerajaan Sarawak membantu meningkatkan keyakinan global terhadap kelapa sawit Malaysia amnya dan ia juga sudah dimaklumkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kepada Menteri Industri Utama Teresa Kok.

“Ini untuk menjangkau lebih banyak saintis di dunia bagi menghasilkan bukti saintifik yang lebih kukuh mengenai nilai kelapa sawit kita dari segi pemakanan dan sebagainya supaya kita dapat memerangi kempen negatif terhadap kelapa sawit kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Kok, selepas kunjungan hormat terhadap Abang Johari di pejabatnya di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Manakala Kok berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak dan Ketua Menteri khasnya atas sumbangan kepada dana penyelidikan MPOB itu.

“Kami amat menghargai sumbangan Kerajaan Sarawak ini kepada dana penyelidikan MPOB, ketika MPOB berdepan kekangan kewangan sekarang disebabkan harga kelapa sawit yang rendah,” katanya.

Terdahulu, Uggah menyatakan bahawa Sarawak komited memastikan pekebun kecil kelapa sawit di negeri ini mendapat pensijilan Minyak Sawit Bersepadu Malaysia (MSPO).

Sehubungan itu, katanya Kerajaan Sarawak telah bersetuju membentuk kerjasama dengan MPOB bagi memastikan semua pekebun kecil di Sarawak mendapat pensijilan tersebut menjelang penghujung 2019.

Namun demikian, Uggah berkata seperti yang ditegaskan Ketua Menteri pada Persidangan DUN baru-baru ini, Kerajaan Sarawak tidak akan mengeluarkan lagi pajakan sementara untuk penanaman kelapa sawit di tanah kerajaan.

“Itu adalah pendirian kerajaan negeri bahawa kita tidak akan mengembangkan ladang kelapa sawit di tanah negeri,” katanya sambil menambah, ketika ini Sarawak mempunyai kira-kira 1.5 juta hektar tanaman kelapa sawit.

Sementara itu, Kok berkata selain kelapa sawit, kementeriannya juga akan bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak dalam menguruskan sektor perkayuan di negeri ini.

“Kayu adalah salah satu sektor dalam kementerian saya dan oleh sebab itu, kami ingin bekerjasama rapat dengan Kerajaan Sarawak dalam menangani isu-isu yang berkaitan dengan kayu di Sarawak,” ujarnya.

  • oleh
  • Advertisement