Anda di sini

Rompak: Lelaki dipenjara sembilan tahun, satu sebat

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Seorang lelaki dikenakan penjara selama sembilan tahun dan satu sebat, oleh Mahkamah Sesyen di sini, atas kesalahan merompak seorang wanita. 

Hakim Azreena Aziz menjatuhkan hukuman itu terhadap Md Azrin Mohammad Salleh, 38, yang mengaku salah mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan. 

Sabit salah atas pertuduhan terbabit, boleh dikenakan penjara selama tempoh 14 tahun dan denda, serta sebatan. 

Tertuduh merompak mangsa berusia 42 tahun lalu merampas barangan kemas dan wang tunai sebanyak RM90, pada 26 November jam 3 pagi di sebuah rumah, Kampung Tempurong, daerah Kuala Penyu. 

Mengikut fakta kes, pada hari sama, mangsa tersedar daripada tidur apabila mendengar bunyi bising dari tingkat bawah rumah lalu turun untuk memeriksa. 

Mangsa melihat tertuduh berdiri di ruang tamu sambil memakai tudungnya yang berwarna hitam dan jaket milik adik lelakinya. 

Beliau menjerit sekuat hati untuk meminta pertolongan, namun tertuduh segera berlari ke arahnya dan menutup mulut mangsa dengan menggunakan tangan. 

Mangsa cuba melawan, tetapi tertuduh bertindak mengambil kain lalu melilitkan kain berkenaan pada leher mangsa. 

Akibat ketakutan mangsa merayu agar tidak diapa-apakan serta menawarkan wang yang disimpan di biliknya. 

Tertuduh terus menarik tangan mangsa menuju ke bilik dan mula menyelongkar, tertuduh mengambil barang kemas dan sejumlah wang tunai. 

Sebelum keluar dari rumah, tertuduh juga mengugut mangsa supaya tidak menceritakan kejadian terbabit kepada orang lain, jika tidak tertuduh akan membunuh keluarga dan membakar rumah mangsa. 

Bagaimanapun mangsa tekad menceritakan peristiwa berkenaan kepada kakaknya, sejurus itu laporan polis dibuat pada hari yang sama. 

Polis berjaya menangkap tertuduh pada hari sama, turut ditemukan seutas rantai milik mangsa, sementara pakaian yang dipakai tertuduh pada waktu kejadian ditemukan di rumahnya dan di kawasan semak. 

Polis juga merampas sebahagian barang kemas terbabit yang dijual tertuduh di kedai pajak gadai. 

Semasa kawad cam dijalankan pada 28 November, mangsa dapat mengenal pasti tertuduh sebagai individu yang melakukan rompakan berkenaan. 

Azreena memerintahkan Md Azrin menjalani pemenjaraan bermula dari tarikh tangkap dan barangan kemas berkenaan dikembalikan kepada pemilik asal. 

  • oleh
  • Advertisement