Anda di sini

Ribuan ayam mati: MAFI nafi mesej, gambar tular disahkan palsu

DUA pegawai JPH Sabah memeriksa pusat ternakan ayam.
DUA pegawai JPH Sabah memeriksa pusat ternakan ayam.

SANDAKAN: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menafikan dakwaan mesej dan gambar tular yang mendakwa ayam telah dimusnahkan di Batu 19 dan menggesa orang ramai supaya berhenti makan telur boleh menyebabkan penyakit kanser disahkan palsu. 

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Junz Wong berkata dakwaan itu yang tersebar dalam WhatsApp hanya spekulasi berikutan laporan mengenai banyak ayam mati di pusat ternakan haiwan berkenaan. 

Beliau berkata pihaknya yang menerima mesej serta gambar berkenaan menerusi WhatsApp dan pemeriksaan mendapati kejadian itu tidak berlaku. 

Katanya siasatan Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) negeri mendapati tiada sebarang laporan daripada penternak di negeri ini terutamanya didakwa di Sandakan berhubung perkara itu. 

"Setakat ini, semuanya masih terkawal. Jika apa yang didakwa benar, tentu ada penternak akan memaklumkan kepada kami supaya pemeriksaan dan ujian makmal dijalankan,” katanya. 

Dalam pada itu, Junz telah menerima laporan daripada Pengarah JPH Sabah Dr Peter Lee Ah Kong mengatakan satu pasukan yang diselia oleh Pegawai Veterina Sandakan Dr Teddy Marshell Denis telah turun ke lokasi yang didakwa berlakunya kejadian itu.

“Dr Teddy sendiri telah mengesahkan tiada berlaku kematian yang tinggi seperti yang dilaporkan dalam gambar dan mesej yang tular itu,” katanya. 

Beliau memberitahu pihaknya telah membuat pemeriksaan di dua pusat ternakan ayam di Batu 18 dan Batu 19 Jalan Labuk bagi mengesahkan kesahihan mesej serta gambar yang tular itu. 

“Mesej itu tular tadi pagi di Sandakan, sudah disiasat gambar bukan di Batu 19 dan tiada kes kematian seperti dilaporkan dalam tular dan produksi telur seperti biasa,” katanya. 

Gambar yang sama sebelum ini pernah dilaporkan satu portal online pada 21 Mac 2017 bertajuk 'Mesej Tular Palsu - Veterinar Pulau Pinang' yang didakwa tular palsu oleh Pengarah Jabatan Veterinar Pulau Pinang Dr Siti Salmiyah Tahir. Gambar itu didakwa berlaku di Valdor, Sungai Bakap, Nibong Tebal. 

Sehingga kini, tidak diketahui lokasi ladang yang gambarnya dimuatkan bersama mesej tular itu, bagaimanapun imej sama digunakan dalam posting berkaitan penghapusan ayam susulan selesema burung di Hayathnagar, India pada April 2015.