Anda di sini

Pupuk integriti berterusan: Jaujan 

JAUJAN (kanan) ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan kertas kerja pada Persidangan Hari Perkhidmatan Awam Negeri 2018 pada Khamis. Turut kelihatan Hashim dan Masnah.
JAUJAN (kanan) ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan kertas kerja pada Persidangan Hari Perkhidmatan Awam Negeri 2018 pada Khamis. Turut kelihatan Hashim dan Masnah.

KOTA KINABALU: Usaha yang berterusan perlu dilakukan bagi memupuk integriti dalam setiap lapisan masyarakat khususnya penjawat perkhidmatan awam di negeri ini. 

Timbalan Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Jaujan Sambakong berkata, langkah itu penting bagi memberi peringatan terus menerus kepada masyarakat berkaitan kebaikan memupuk integriti dalam diri. 

"Integriti ini amat kita tekankan kepada penjawat awam kerana sekalipun kita ada dasar yang dibuat di peringkat pelaksana, namun jika kurangnya kejujuran, kecekapan dan integriti, sudah tentu dasar pembangunan tidak akan mencapai KPI yang ditetapkan. 

"Atas sebab itu, soal integriti perlu terus dipupuk kerana cabaran integriti dalam setiap insan wujud melalui dua aspek iaitu akal dan nafsu... kalau guna akal maka lahirlah integriti baik, tapi jika guna nafsu akan wujudnya penyelewengan," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan kertas kerja bertajuk 'Integriti Tunjang Kelestarian Pembangunan dan Kemakmuran Sabah' pada persidangan Hari Perkhidmatan Awam Negeri Sabah 2018, di sini pada Khamis. 

Dalam pada itu, Jaujan berkata meskipun nilai integriti amat ditekankan dalam kalangan penjawat awam, namun lapisan mayarakat juga tidak ketinggalan untuk memainkan peranan masing-masing. 

Hal ini kerana katanya, peranan rakyat dan kakitangan perkhidmatan awam adalah saling memerlukan khususnya melibatkan interaksi antara satu sama yang lain. 

"Kita sedia maklum, perkhidmatan awam berperanan melaksanakan pembangunan yang dibawa oleh kerajaan untuk rakyat. 

"Tetapi, sekiranya rakyat juga tiada integriti, ia menjadi satu kekurangan dan tidak memberi impak positif kepada pembangunan negeri... itu sebab rakyat keseluruhan juga perlu ada nilai integriti," katanya. 

Terdahulu, seramai 500 anggota perkhidmatan awam negeri menghadiri persidangan berkenaan melibatkan lima sesi dari pelbagai tajuk yang disampaikan oleh panel terpilih. 

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Hashim Paijan dan Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Hajah Masnah Mat Salleh.