Anda di sini

PPM, Polair tekad agresif banteras sindiket dadah

Advertisement
PAJERI menyerahkan cenderamata kepada SAM selepas berakhirnya pertemuan antara kedua-dua belah pihak.
PAJERI menyerahkan cenderamata kepada SAM selepas berakhirnya pertemuan antara kedua-dua belah pihak.

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) Sabah dan Polisi Air (Polair) Kalimantan Utara (Kaltara) mahu mengambil pendekatan lebih agresif membanteras aktiviti sindiket dadah di sempadan Malaysia-Indonesia (wilayah segi tiga, Tawau-Pulau Sebatik-Nunukan).

Hasrat itu selaras dengan penglibatan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPD Tawau dan Unit Satuan Reserse Narkoba (Reskoba) Kepolisian Resor (Polres) Nunukan ke dalam perbincangan Program Rendezvous (RV) agensi kepolisan kedua-dua negara.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah ACP Mohamad Pajeri Ali berkata langkah itu diambil susulan kejayaan JSJN Sabah dengan kerjasama JSJN Bukit Aman melakukan rampasan dadah terbesar di negeri ini, seberat 104.3kg di Tawau pada bulan lepas.

“Perkara ini sudah lama difokuskan tetapi kali ini kita mengundang JSJN IPD Tawau dan Unit Reskoba Polres Nunukan supaya mereka lebih jelas dalam konteks hubungan maklumat kedua-dua negara.

“Misalnya, PPM Sabah akan fokus kepada pergerakan di perairan manakala JSJN pula lebih agresif dari segi aliran keluar masuk dadah antara kedua negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media sempena RV bulanan terbaharu di perairan Tanjung Saima, perbatasan perairan Tawau dan Sg Nyamuk Sebatik, di sini pada Khamis.

Pajeri percaya kehadiran kedua-dua pasukan itu akan menjadikan perkongsian maklumat aktiviti dadah di sempadan dua negara menjadi lebih mantap.

“Ini juga salah satu strategi kita untuk mengesan dan mengenalpasti sindiket dadah terlibat dan melihat arah aliran aktiviti penyeludupan dadah antara kedua negara beredar.

Komisaris Polisi (Kompol) Direktorat Kaltara, Tarakan Sam Surya pula percaya kemasukan JSJN dan Unit Reskoba Polres itu sebagai satu perkembangan yang baik.

Malah beliau optimis langkah itu dapat membantu kepolisan kedua-dua negara mencegah aktiviti pelaku jenayah rentas sempadan dan penyeludup dadah daripada terus berleluasa.

“Sememangnya, perbincangan utama RV ini setiap bulan berkaitan dadah dan syukur kerana kita mampu merampas kira-kira 80kg dadah di Nunukan setiap tahun.

“Kita juga sedia maklum dadah yang diseludup ke Nunukan bukannya dibuat di Malaysia tetapi dipercayai dari China sebelum dibawa ke Malaysia dan seterusnya ke Indonesia.

Hadir sama, Pegawai Staf II Keselamatan Bahagian Operasi Laut Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Husaini Hussin, Pegawai Pemerintah PPM Tawau DSP Mohd Nazri Ibrahim dan LO Polri Konsulat Republik Indonesia di Tawau A Fazila.

Begitu juga, Kepala Satuan Polisi Perairan dan Udara (Polairud) Nunukan, Iptu Karjadi Kabidhumas Polres Nunukan, Ipda Maswoko Perwira Polsek Sebatik Timur dan Ipda Siswandoyo Kanit Ops Reskoba Polres Nunukan.

Untuk rekod, kedua-dua pihak turut membincangkan kes pemerdagangan manusia dan aktiviti jenayah rentas sempadan yang lain, serta agenda bersama pada tahun hadapan. 

  • oleh
  • Advertisement