Anda di sini

Polis kumpul maklumat kes tembak tekong di Pegasus Reef

Advertisement
TEKONG bot dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Lahad Datu.
TEKONG bot dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Lahad Datu.

KOTA KINABALU: Polis giat mengumpul maklumat berkenaan tekong warga Indonesia yang cedera ditembak sekumpulan lelaki lengkap bersenjata semasa menaiki bot tunda di perairan Pegasus Reef Kinabatangan, jam 8 malam Rabu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata semasa kejadian, mangsa dikenali sebagai Didi bersama 13 lagi kru masing-masing dua warga tempatan dan 10 yang lain adalah warga Indonesia menaiki MT Mantran dalam perjalanan dari Bintulu, Sarawak menuju ke Papua New Guinea.

“Mereka kemudiannya didatangi sebuah bot berkuasa tinggi berwarna hitam dinaiki empat individu yang memegang senjata panjang menyerupai M16 naik ke anjungan bot sebelum melepaskan tembakan secara rambang lalu meninggalkan bot.

“Kejadian menyebabkan tekong bot cedera ditembak di bahagian paha dan kru yang lain tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Pihaknya kini masih mengumpulkan maklumat dan mengenalpasti jika terdapat sebarang tebusan yang dilarikan semasa kejadian berikutan suspek turut menyerang beberapa bot lain di kawasan berhampiran.

“Kita masih menyiasat jika suspek ada melarikan individu semasa melakukan serangan seterusnya di bot kedua yang berada berhampiran lokasi kejadian,” katanya.

Sementara itu, Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Hazani Ghazali berkata tekong berumur 40-an itu berada dalam keadaan selamat buat masa ini.

“Selepas diselamatkan, tekong yang cedera di bahagian paha dibawa ke Jeti Tambisan Lahad Datu sebelum dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk menerima rawatan selanjutnya.

BOT tunda yang dinaiki mangsa bersama 12 kru lain
BOT tunda yang dinaiki mangsa bersama 12 kru lain

“Kru yang lain ditempatkan di Jeti Marin Lahad Datu untuk tindakan lanjut termasuk mengambil keterangan berhubung kejadian semalam,” katanya.

Pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengenalpasti motif kejadian sama ada cubaan merompak atau culik.

  • oleh
  • Advertisement