Anda di sini

Perancis batal rancangan naik cukai bahan bakar

Advertisement
 Seorang penunjuk perasaan yang memakai ves kuning, simbol protes pemandu Perancis yang menentang kenaikan harga diesel, membawa bendera dekat puing terbakar di jalan menuju ke A2 Paris-Brussels Motorway, di Fontaine-Notre-Dame, Perancis, kelmarin. — Gambar Reuters
TUNJUK MARAH: Seorang penunjuk perasaan yang memakai ves kuning, simbol protes pemandu Perancis yang menentang kenaikan harga diesel, membawa bendera dekat puing terbakar di jalan menuju ke A2 Paris-Brussels Motorway, di Fontaine-Notre-Dame, Perancis, kelmarin. — Gambar Reuters

PARIS: Kerajaan Perancis membatalkan rancangan untuk menaikkan cukai bahan bakar dalam usaha untuk meredakan tunjuk perasaan ganas yang telah meruncing dan bertukar menjadi krisis paling mendalam dalam kepimpinan Emmanuel Macron.

Konsesi itu, yang dibuat selepas pakej bantuan sebelum ini bernilai 500 juta euro (RM2.4 bilion), menandakan kali pertama Macron, 40, akur selepas menghadapi bantahan rakyat.

Perdana Menteri Edouard Philippe kelmarin meng-umumkan pembatalan ke-naikan cukai bahan bakar dan harga elektrik dalam satu ucapan televisyen selepas Perancis digegarkan oleh vandalisme dan pertelingkahan jalanan yang buruk di Paris pada hujung minggu lepas.

“Kemarahan ini, anda mesti pekak dan buta untuk tidak melihatnya, mahupun mendengarnya,” kata Philippe selepas demonstrasi selama dua minggu oleh penunjuk perasaan yang dipanggil kumpulan ‘ves kuning’.

“Tiada cukai yang wajar membahayakan perpaduan negara,”katanya.

Rancangan untuk menaikkan cukai ke atas petrol dan diesel pada 1 Januari akan digantung selama enam bulan, manakala kenaikan dalam harga gas dan elektrik yang dikawal akan dibekukan pada musim salji.

Tekanan semakin meningkat ke atas kerajaan selepas tunjuk perasaan bertukar menjadi rusuhan jalanan terburuk di tengah Paris selama berdekad-dekad.

Di seluruh Perancis, empat orang maut dalam kemala-ngan yang ada kaitan dengan demonstrasi dan sekatan jalan, manakala ratusan lagi cedera.

Selama berminggu-minggu Macron tidak berganjak me-ngenai cukai bahan bakar, yang bertujuan untuk membiayai dasar antipencemaran tetapi menurut pengkritik membebankan pemandu secara tidak adil di kawasan luar bandar dan bandar kecil di Perancis.

Menarik balik kenaikan pada Januari – tiga sen euro untuk minyak tanpa plumbum dan enam sen untuk diesel – merupakan tuntutan teras penunjuk perasaan, selain gaji minimum yang lebih tinggi dan pulangan bagi cukai kekayaan ke atas penerima pendapatan tinggi yang dimansuhkan oleh Macron.

Dua kumpulan yang me-nyekat depo petrol di Brittany berkata mereka akan berundur ekoran pengumuman bagi langkah tersebut, yang akan menelan kos kira-kira dua bilion euro (RM9.6 bilion). — AFP

Advertisement