Anda di sini

Pegawai APMM dan guru didakwa peras ugut pemilik bot nelayan

 Muhmmad Rezal (kanan) bersama adik Muhammad Aminruddin yang bekerja sebagai guru dihadapkan ke Mahkamah Sesyen semalam atas tuduhan memeras ugut pemilik bot nelayan pada Oktober lalu. — Gambar Bernama
DIBICARA: Muhmmad Rezal (kanan) bersama adik Muhammad Aminruddin yang bekerja sebagai guru dihadapkan ke Mahkamah Sesyen semalam atas tuduhan memeras ugut pemilik bot nelayan pada Oktober lalu. — Gambar Bernama

KUANTAN: Seorang pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan adiknya yang bekerja sebagai guru dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, atas tuduhan memeras ugut pemilik bot nelayan, pada Oktober lalu.

Muhmmad Rezal Kamal Bashah, 39, dan Muhammad Aminruddin, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Mereka didakwa memeras ugut Heng Loon Peng, 44, dengan menggunakan alasan bot miliknya akan ditahan, yang menyebabkan mangsa menyerahkan wang tunai RM1,700 pada 3.14 pagi, 24 Okt lalu di perairan Rompin, dekat sini.  

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan sebat atau mana-mana dua hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Peguam Mohd Faizal Hiqram Azmi yang mewakili kedua-dua tertuduh merayu jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin yang ditawarkan pihak pendakwaan bagi setiap tertuduh dikurangkan atas alasan anak guamnya menyara keluarga.

“Muhmmad Rezal memperoleh pendapatan bersih sekitar RM4,500 sebulan yang digunakan untuk menanggung lima anggota keluarga manakala Muhammad Aminruddin mempunyai dua tanggungan dengan pendapatan sekitar RM2,500 sebulan,” katanya.

Mohd Faizal Hiqram juga merayu mahkamah mengambil kira tertuduh sebelum ini telah menjelaskan jaminan sebanyak RM8,000 setiap seorang selepas didakwa pada 31 Okt lalu di mahkamah sama, atas dakwaan merompak satu tan sotong bernilai RM20,000 daripada bot nelayan itu.

Siti Aminah membenarkan tertuduh dijamin RM3,000 dengan seorang penjamin bagi setiap seorang, dan menetapkan 7 Feb depan sebagai tarikh sebutan semula.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Haryati Abdullah.

Muhmmad Rezal semasa ditahan difahamkan menjawat jawatan sebagai ketua zon dan bertugas di Kemaman, Terengganu manakala Muhammad Aminruddin berkhidmat di sebuah sekolah kebangsaan di Karak, Bentong.

Pada prosiding sama, Siti Aminah juga menetapkan 7 Feb depan sebagai tarikh sebutan semula kes rompakan dihadapi tertuduh selepas Mohd Faizal Hiqram memaklumkan anak guamnya berhasrat menghantar representasi terhadap pertuduhan itu.

Dalam kes itu, Muhmmad Rezal dan Muhammad Aminruddin didakwa bersama seorang lagi adik mereka, Muhammad Nur Adnan Shah, 29, serta dua beranak iaitu Abdullah Saat, 56, dan anaknya Muhammad Suhaimi, 20.

Semua mereka mengaku tidak bersalah atas tuduhan merompak satu tan sotong itu dengan menggunakan sepucuk pistol di perairan Rompin, dekat sini, pada 3.14 pagi, 24 Okt lalu.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan. — Bernama