Anda di sini

Netizen Sarawak bersatu hati, ingin bantu keluarga mangsa letupan gas

Advertisement
Fah Hin ketika menceritakan tentang anak kesayangannya, mendiang Kiom Joong.
Fah Hin ketika menceritakan tentang anak kesayangannya, mendiang Kiom Joong.

KUCHING: Simpati dengan kedaifan bapa seorang mangsa insiden letupan gas di CityOne Megamall, warga Internet dari Sarawak berusaha membantu meringankan beban dengan menguar-uarkan sumbangan kewangan.

Kedaifan keluarga Tchee Fah Hin, 66, bapa kepada Tchee Kiom Joong, 24, yang maut dalam insiden Selasa itu jelas kelihatan menerusi video Facebook Utusan Borneo Online, semalam.

Video selama kira-kira 11 minit yang dimuat naik pada petang semalam, memaparkan kediaman usang Fah Hin dan mendiang Kiom Joong yang didiami selama 25 tahun di Jalan Stutong Baru.

Kedaifan rumah tersebut yang dirakamkan dari luar dan dalam sangat menyentuh hati netizen tanpa mengira bangsa dan agama.

Sesiapa yang melihat video ini sudah pasti rasa simpati apabila ruang dapur dan perkakas rumah dalam keadaan usang dan lama.

Fah Hin yang sakit dan tidak dapat berjalan, tinggal di rumah usang itu bersama anaknya yang terkorban. Dua lagi anaknya, tinggal di rumah berasingan.

Syawal Nizam, seorang netizen yang membuat catatan di ruangan komen video, berkongsi nombor akaun bank abang mangsa, Tchee Kian Siang.

Dia berkata "kepada sesiapa yang menyumbang derma untuk meringankan beban keluarga mangsa khasnya anak Sarawak yang ingin menderma."

No akaun - 25250136451 (Hong Leong)

Nama - Tchee Kian Siang

Nombor telefon - 0165789924.

Syawal turut menulis "Kita anak Sarawak saling membantu sama yang lain tidak kira latar belakang kita. Buat baik dibalas baik."

Catatan Syawal itu menerima 30 reaksi daripada pengguna Facebook berbagai latarbelakang kaum. Kesemuanya menunjukkan semangat warga Sarawak bersatu-padu dan saling membantu.

Rumah usang kediaman Fah Hin bersama mendiang Kiom Joong.
Rumah usang kediaman Fah Hin bersama mendiang Kiom Joong.

Ma Ry Lynn menulis "Bila baca komen-komen orang dalam tok, ada pelbagai bangsa dan agama. Bertuahnya hidup di tempat yang diberi nama Sarawak. Semua bersatu hati menghulurkan bantuan kepada uncle, tidak kira bangsa dan agama."

Dygku Nurul Najwa menulis, "Can we create 1 group? So this weekend kita boleh set masa pergi beramai-ramai ke sia hantar bantuan? I have his address. Dah contact abang mangsa."

Daniel O'nell pula mengajak netizen yang berada di Kuching untuk memberi sumbangan dalam apa jua bentuk, ikut kemampuan.

Video temuramah wartawan Utusan Borneo, Roy Emmor,  itu ditonton kira-kira 82,000 netizen, menerima 511 komen, dikongsi oleh 2,100 netizen, dan menerima 2,200 reaksi setakat tengah hari ini.

Rata-rata netizen meluahkan perasaan simpati dan kesediaan menghulurkan bantuan kepada Fah Hin.

Sarawak memang terkenal dengan semangat 'anak Sarawak' dalam apa jua situasi, lebih-lebih lagi dalam insiden begini.

Mendiang Kiom Joong, bekerja sebagai tukang paip, pada hari kejadian bertugas memastikan pemasangan paip air di kedai makanan NeNe Chicken sempurna sebelum premis itu dibuka kepada orang ramai pada Rabu.

Selain Kiom Joong, insiden itu turut meragut dua nyawa serta menyebabkan mangsa lain cedera.

Utusan Borneo cuba mendapatkan maklum balas daripada Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Dato Sri Fatimah Abdullah.

Difahamkan, beliau kini berada di luar negara.

Advertisement