Anda di sini

‘Misbun Limbang’ terus harumkan badminton Malaysia di persada dunia

Advertisement
 Zaini (tengah) menerima hadiah kemenangan pada APMG Penang 2018 September lalu.
JULANG JUARA: Zaini (tengah) menerima hadiah kemenangan pada APMG Penang 2018 September lalu.

BAHAGIAN SATU

KEJOHANAN Badminton Asia Pacific Masters Games (APMG) Penang 2018 platform terbaik untuk anak Limbang ini yang juga peserta dari Malaysia Zaini Garip mengharumkan nama negara di podium antarabangsa.

Berusia 66 tahun, siapa sangka stamina Zaini atau lebih sinonim dengan gelaran ‘Misbun Limbang’ amat luar biasa apabila melakar lebih 30 kejayaan dalam sukan badminton di Sarawak, Malaysia dan luar negara sejak lebih 20 tahun.

Lebih manis, nama beliau kini menjadi sebutan apabila membuat kepulangan sempurna ke Sarawak dengan mencatat kemenangan dan mengejutkan Malaysia selepas menjuarai APMG Penang 2018.

Beliau bersaing bagi kategori Perseorangan Lelaki Terbuka umur 65 hingga 69 tahun di Pulau Pinang pada 11 hingga 15 September lepas yang turut disertai 15 pemain dari Indonesia, Australia, Kanada, Jepun, Amerika Syarikat, China dan Malaysia.

Pada perlawanan suku akhir, Zaini menundukkan lawan dari Australia Teik Guan Lim 21-7, 21-8 dan seterusnya mengalahkan pemain dari Indonesia, Luddy Budiman, 21-9, 21-12 di separuh akhir.

Pada pentas final beliau bersaing dengan pemain Kanada Henry Paynter yang sebelum itu telah ditewaskannya pada perlawanan peringkat liga zon dengan kiraan mata 21-18, 21-7.

Bagaimanapun perlawanan akhir dimenangi secara ‘walkover’ apabila pemain berkenaan gagal menghadirkan diri atas sebab sebab tertentu.

Hadiah kemenangan disampaikan Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer dan ADUN Sungai Pinang Lim Siew Kim.

Zaini yang berasal dari Kampung Nauran dan ayah kepada lima anak, pernah menempah sejarah sebagai johan perseorangan MBA International Badminton Championship, Kuala Lumpur pada Mei 2010 untuk kategori umur 55 hingga 59 tahun.

Beliau juga merangkul gelaran johan perseorangan dan bergu untuk kategori umur 60 hingga 64 tahun dalam Kejohanan ‘The Battle below the Wind, World Badminton Invitation’ yang diadakan di Kota Kinabalu pada 2015.

Pada Kejohanan ‘47th World Badminton Morning Cup’ yang diadakan di Taipei, Taiwan pada April lalu, Zaini mengulangi kejayaan selepas merangkul johan perseorangan dan bergu bagi kategori umur 65-69 tahun.

 Zaini menunjukkan antara pingat emas yang dimenanginya dalam pelbagai kejohanan peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
BANGGA: Zaini menunjukkan antara pingat emas yang dimenanginya dalam pelbagai kejohanan peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

“Saya berharap kejuaraan ini mampu dijadikan motivasi kepada generasi muda agar bergiat aktif mengharumkan nama negara tanpa mengira peringkat usia kita,” katanya kepada Utusan Borneo pada pertemuan baru-baru ini.

Selepas APMG Penang 2018, Zaini tidak menunjukkan sebarang tanda untuk memperlahankan rentak memburu kejayaan mahupun menamatkan kariernya apabila menjuarai kategori Perseorangan dan Bergu untuk pemain berumur 65 ke 69 tahun dalam Kejohanan Persekutuan Badminton Cina Dunia Ke-25 2018 di Chengdu, China pada 1-4 November lalu.

Pada kejohanan itu, pingat emas dimenangi pasangaan Lee Sui Min dan Michele Chong dalam acara beregu campuran 45-49 tahun, Zaini (perseorangan lelaki 65-69 tahun) dan gandingan Anthony Linggian/Zaini Garip dalam acara beregu lelaki 65-69 tahun selaku wakil Kelab Sabah Beverly Hill (KSBH).

Lee/Michele mengalahkan pasangan Hunan China, Cai Yang Hong-Hen Guang Feng 31-19 manakala Zaini menumpaskan jurulatih profesional Chengdu, Deng Guang Min 31-15.

Zaini kemudiannya menggandakan gelaran juaranya apabila turut menjuarai acara beregu bersama Anthony dengan menumpaskan pasangan Hua Yu Schuan-Ai Zheng Qiang/Li Ming An 31-30 untuk emas ketiga  KSBH.

Menurut Zaini, kemenangan itu amat membanggakan meskipun ditentang pemain handalan lain dari seluruh pelosok China.

Kejohanan Persekutuan Badminton Cina Dunia berlangsung di Dewan Badminton Kebangsaan Sichuan Shuangliu yang dilengkapi dengan 88 gelanggang di beberapa bangunan.

Sebanyak 102 acara dipertandingkan dengan disertai lebih 4,600 pemain dari 17 negara dengan lebih 7,000 keseluruhan penyertaan berdaftar.

Pertandingan itu melibatkan kira kira 4,600 peserta yang datang dari 17 negara yang kebanyakannya datang dari pelbagai kawasan di China.

Pada final perseorangan Zaini bertarung sengit dengan aksi kejar mengejar mata sehingga mata ke-10.

 Zaini bersama hadiah kejuaraan yang diterimanya pada APMG Penang.
CIPTA SEJARAH: Zaini bersama hadiah kejuaraan yang diterimanya pada APMG Penang.

Bagaimanapun selepas itu, Zaini mendapat rentaknya untuk terus bangkit dan memenangi perlawanan itu dengan hanya membenarkan lawan menambah lima mata.

Kemenangan mereka dalam acara beregu (lelaki 65-69 tahun) juga satu kejutan selepas mengharungi cabaran getir berhadapan dengan pemain handalan dari Indonesia, Taiwan, Jepun dan tuan rumah China.

Walaupun ketinggalan 3-9 kemudian 9-16 dan 20-24 mereka enggan mengaku kalah dan terus berjuang untuk mengutip lapan mata menjadikan kedudukan mereka di hadapan 28-24.

“Dengan sokongan padu penyokong yang memenuhi dewan, pasangan tuan rumah itu kembali mendahului 30-29 tetapi kami dapat menyamakan kedudukan untuk memberi tekanan kepada lawan,”ujarnya.

Kejayaan itu menunjukkan Zaini adalah antara pemain berpotensi dalam cara perseorangan lelaki dan menyasarkan untuk terus beraksi pada kejohanan akan datang.

Pada pertemuan bersama Utusan Borneo baru-baru ini Zaini turut berkongsi remcam kejayaan yang dirangkulnya sejak berkecimpung dalam sukan badminton lebih 20 tahun lalu.

Katanya, selain melibatkan diri dalam sukan badminton beliau juga aktif menabur bakti dalam Persatuan Badminton Bahagian Limbang (PBL) sejak 1981 dan terkini beliau memegang jawatan sebagai Timbalan Pengerusi PBL.

Zaini yang dilahirkan pada 14 September, 1952 memulakan penglibatan dalam sukan badminton sejak sekolah rendah serta pernah menjadi wakil sekolah ke Kuching untuk kejohanan badminton pada 1968.

Beliau mendapat pendidikan Senior Cambridge Limbang sebelum memulakan kerja di Jabatan Kesihatan pada 1975 sebagai Penolong Pegawai Perubatan sebelum bersara pada 2010.

Zaini berkata, lebih 30 kali kemenangan dirangkulnya dalam sukan sama sejak lebih 20 tahun lalu.

Untuk rekod, beliau pernah memenangi acara perseorangan/individu kategori veteran sebanyak empat kali di peringkat negeri ketika berusia 43 tahun, selain mewakili Sarawak sebanyak dua kali dalam kejohanan MAKSAK Negeri.

Lebih membanggakan, Zaini pernah menjadi wakil Jabatan Kesihatan di peringkat negeri selama 22 tahun bermula pada 1990 hingga 2012, selain menjadi wakil di jabatan sama semasa berkhidmat di Wilayah Persekutuan Labuan sebanyak dua kali.

“Saya pernah merangkul johan perseorangan, bergu lelaki terbuka dan bergu veteran pada Pertandingan Badminton Kelab Perubatan Sarawak yang dianjurkan di Limbang pada 2001 melibatkan pemain dari seluruh Sarawak.

“Malah semasa bertugas di Labuan, saya pernah mewakili Labuan di Peringkat Kebangsaan pada 2007, dengan menggondol johan Perseorangan Lelaki Terbuka, Bergu Lelaki Terbuka dan Bergu veteran lelaki meskipun sudah mencecah usia 55 tahun,” jelasnya.

  • oleh
  • Advertisement