Anda di sini

Makmal dadah ditumpas, rampasan bernilai RM35 juta

Advertisement
Mohmad Salleh (dua, kanan) menunjukkan pelbagai jenis dadah dan peralatan yang dirampas, pada sidang media di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar, hari ini. - Gambar Bernama
Mohmad Salleh (dua, kanan) menunjukkan pelbagai jenis dadah dan peralatan yang dirampas, pada sidang media di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar, hari ini. - Gambar Bernama

KAMPAR: Polis Perak melumpuhkan satu sindiket memproses dadah pelbagai jenis selepas menyerbu sebuah stor dan sebuah premis yang dijadikan makmal mini memproses dengan merampas dadah terbabit bernilai keseluruhan RM35 juta dan menahan empat ahli sindiket pada Selasa lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh berkata makmal mini tersebut berselindung di sebalik premis pangsapuri di Taman Kolej Perdana di sini manakala tempat penyimpanan dadah terletak di sebuah stor di kawasan Perindustrian Gopeng.

“Empat lelaki warga tempatan berumur 26 hingga 39 tahun yang berada di stor semasa operasi pada 7.45 malam, 4 Dis turut ditahan dan direman bermula semalam hingga 11 Dis ini di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Turut dirampas sebanyak 676 kilogram (kg) dadah jenis syabu yang telah dipek. Rampasan dadah ini dipercayai untuk pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar di sini hari ini.

Serbuan tersebut dilakukan dengan kerjasama JSJN Bukit Aman dengan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Kata Mohmad, siasatan lanjut mendapati keempat-empat mereka negatif dadah namun dua daripada mereka memiliki rekod jenayah bersabit dadah.

Rentetan itu, pihaknya telah membuat serbuan kedua di sebuah pangsapuri yang dijadikan makmal mini dan menemui pelbagai jenis dadah beserta peralatan memproses dadah pada pukul 1 pagi (Rabu).

“Tiada tangkapan dibuat namun kita berjaya merampas 20.4kg heroin, 2.6kg syabu, 3.6kg heroin ‘base’, 4,000 biji pil erimin 5, 187kg serbuk dan cecair bahan kimia serta sejumlah peralatan memproses dadah.

“Dalam kedua-dua operasi itu juga, kita turut menyita tiga buah kenderaan dan sejumlah barang kemas yang dianggarkan bernilai RM320,000,” katanya.

Menurut beliau lagi, hasil maklumat risikan pihaknya percaya sindiket berkenaan yang dikesan telah sebulan beroperasi menggunakan modus operandi dengan menggunakan kawasan kilang kosong yang seakan-akan tidak beroperasi.

Dalam pada itu Mohmad berkata statistik rampasan syabu di seluruh negara tahun ini adalah sebanyak 3.8 juta tan iaitu catatan terbesar direkodkan sejak JSJN ditubuhkan dan jumlah itu melebihi jumlah rampasan untuk empat tahun sebelumnya.

  • oleh
  • Advertisement