Anda di sini

Majikan tiada hak potong gaji tanpa kebenaran pekerja

Kula Segaran menjawab pertanyaan media selepas Forum Undang-Undang Pekerjaan 2018, di George Town, hari ini. - Gambar Bernama
Kula Segaran menjawab pertanyaan media selepas Forum Undang-Undang Pekerjaan 2018, di George Town, hari ini. - Gambar Bernama

GEORGE TOWN: Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran berkata majikan tiada hak untuk memotong gaji pekerja mereka dalam konteks pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tanpa kebenaran pekerja terbabit.

Katanya pada masa ini tiada peruntukan undang-undang yang membenarkan majikan berbuat demikian.

“Jadi, apa yang boleh dibuat ialah pinda Akta PTPTN terlebih dahulu dengan memperuntukkan bahawa mulai sekarang apa-apa yang tertunggak wang itu boleh dipotong daripada mana-mana pihak yang dibenarkan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Undang-undang Pekerjaan 2018 ke-7, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Kula Segaran berkata sekiranya ada undang-undang bagi tujuan itu, majikan juga tidak mempunyai pilihan melainkan mematuhinya. 

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jai semalam bahawa perbadanan itu bekerjasama dengan enam agensi bagi mendapatkan maklumat pendapatan dan butiran majikan peminjam untuk melaksanakan Potongan Gaji Berjadual bermula Januari depan.
 

Wan Saiful berkata PGB itu adalah untuk peminjam yang gajinya mencecah RM2,000 sebulan dan berdasarkan maklumat yang diperoleh, PTPTN akan mengeluarkan arahan potongan gaji mengikut peratusan tertentu kepada majikan dan majikan bertanggungjawab membuat potongan itu.

Mengulas mengenai keluhan peminjam yang menyifatkan kaedah itu membebankan mereka, Kula Segaran berkata  negara kini berhadapan dengan masalah kewangan dan semua pihak perlu memainkan peranan.

“Jika kita dalam keadaan kukuh, tidak ada sebab untuk laksanakan langkah itu (potongan PTPTN),” katanya.