Anda di sini

Lagu ‘thank u, next’ Grande catat rekod baharu

Advertisement
  Gambar fail bertarikh 20 Ogos 2018 menunjukkan Ariana Grande dan Pete Davidson tiba di acara Anugerah Muzik Video MTV 2018 di Radio City Music Hall, New York. — Gambar Reuters
LAGU PERPISAHAN: Gambar fail bertarikh 20 Ogos 2018 menunjukkan Ariana Grande dan Pete Davidson tiba di acara Anugerah Muzik Video MTV 2018 di Radio City Music Hall, New York. — Gambar Reuters

LAGU perpisahan Ariana Grande, ‘thank u, next’ telah menjadi video muzik paling cepat mencapai 100 juta tontonan, seperti yang diumum oleh perkhidmatan penyimpanan video Vevo pada Selasa.

Lagu itu, yang dikeluarkan selepas perpisahan yang banyak dihebahkan antara penyanyi berumur 25 tahun itu dengan tunang Pete Davidson, turut mengungguli carta Billboard selama tiga minggu, memberi Grande hit terbesar sepanjang tujuh tahun bergelar seorang penyanyi.

Vevo berkata, video ‘thank u, next’, di mana Grande menghasilkan semula beberapa adegan dari filem-filem pemerkasaan wanita popular ‘Legally Blonde’ dan ‘Mean Girls’, mencapai 100 juta tontonan dalam tempoh kurang empat hari selepas dikeluarkan pada 30 November.

Menurut Vevo, rekod terdahulu telah dipegang oleh video muzik kemunculan semula penyanyi British Adele, ‘Hello’ pada 2015, yang mengambil masa lima hari untuk mencapai 100 juta tontonan.

Video juga turut menampilkan aktres ‘Legally Blonde’ Jennifer Coolidge, penyanyi Troye Sivan dan Kris Jenner, ibu kepada keluarga rancangan TV realiti Kardashian.

‘thank you, next’, telah dikeluarkan hanya tiga minggu selepas Grande dan Davidson, yang bertunang pada Jun selepas bercinta kurang daripada dua bulan menjadi sensasi media selebriti, berpisah pada Oktober.

Grande, yang mempunyai 137 juta orang pengikut Instagram, menyanyi dengan rasa kasih kepada Davidson dan seorang lagi bekas teman lelaki, penyanyi rap Mac Miller yang meninggal dunia di Los Angeles pada September selepas pengambilan dadah berlebihan, tetapi dia juga menyanyi bahawa dia telah menemui satu cinta baru - dirinya. — Reuters

Advertisement