Anda di sini

Empat petinju tempatan rebut Piala KM

Advertisement
 Abang Johari (empat kiri) menyerahkan piala kepada Jumaat sambil disaksikan (dari dua kanan) Benjamin, Morshidi dan tetamu lain.
JADI REBUTAN: Abang Johari (empat kiri) menyerahkan piala kepada Jumaat sambil disaksikan (dari dua kanan) Benjamin, Morshidi dan tetamu lain.

KUCHING: Empat petinju tempatan akan berentap untuk merebut Piala Ketua Menteri Sarawak sempena Kejohanan Muaythai Sarawak yang dijadualkan berlangsung pada 15 dan 16 Disember ini di Tebingan Kuching.

Mereka yang akan bersaing dalam kategori 66kg ialah Morris Hii Zhen Wei (Kelab Muaythai D30 Miri), Jordan Bokoet Herman (Kelab Muaythai Bau), Abg Muhammad Uqail Abg Mustapha (Kelab Warmonger Sarawak) dan Roslan Johani (Kelab Muaythai Phoenix Sadong Jaya Samarahan).

Selain itu, beberapa perlawanan menarik juga akan berlangsung pada sebelah malah membabitkan aksi Superfight Wanita 57-60kg yang mempertemukan jaguh muay dari Kelab Muaythai D30 Miri Maurien Hii yang akan menentang Dolphina Walter mewakili SS Fighters.

Manakala dalam aksi Superfight Pro Jemputan Borneo 61kg, petinju Mayhem Gym Brunei, Aaron Lim akan ditentang wakil tempatan Wan Syahmi yang mewakili Phoenix Meranek, Samarahan.

Tumpuan juga terarah kepada pertembungan peserta Thailand, Suphan Kaeosisaet yang akan bertarung dengan Muhd Ezham Ibrahim  (Red Army Kuala Lumpur) dalam perlawanan Pro Jemputan Antarabangsa 57kg.

Menurut Presiden Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) Jumaat Ibrahim, perlawanan amatur akan bermula jam 10 pagi pada 15 Disember disusuli perlawanan Piala Ketua Menteri Sarawak dan pro pada sebelah malam.

“Pada sebelah siang akan berlangsung perlawanan amatur Kejohanan Muaythai Sarawak bagi mencungkil bakat-bakat baharu untuk Sukan Malaysia (SUKMA) 2020 yang akan diadakan di Johor.

“Kejohanan ini dianjurkan oleh Persatuan Muaythai Negeri Sarawak dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS), Sara Urusharta Sdn Bhd, agensi-agensi dan badan bukan kerajaan berkaitan,” katanya pada majlis penyerahan piala di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyempurnakan majlis ringkas penyerahan piala yang turut dihadiri Presiden Persatuan Berbasikal Sarawak (PBS) Dato Benjamin Hasbie, Pengarah DBKU Dr Morshidi Ahmad dan exco PMNS.

Menurut Jumaat, bagi memeriahkan lagi penganjuran edisi kali ini, pihaknya bekerjasama dengan PBS dan DBKU menganjurkan kayuhan mesra dan gotong-royong pada Ahad.

  • oleh
  • Advertisement