Anda di sini

AirAsia syarikat penerbangan pertama mendarat di lapangan terbang antarabangsa kedua Melbourne

 (Dari kiri) Pesuruhjaya Tinggi Australia Andrew Goledzinowski AM, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X Nadda Buranasiri, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Malaysia Benyamin Ismail, Pengerusi Eksekutif Lapangan Terbang Linfox David Fox dan Ketua Pegawai Eksekutif Lapangan Terbang Avalon Justin Giddings merakam gambar bersama.
SELAMAT DATANG: (Dari kiri) Pesuruhjaya Tinggi Australia Andrew Goledzinowski AM, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X Nadda Buranasiri, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Malaysia Benyamin Ismail, Pengerusi Eksekutif Lapangan Terbang Linfox David Fox dan Ketua Pegawai Eksekutif Lapangan Terbang Avalon Justin Giddings merakam gambar bersama.

AVALON: AirAsia, syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia telah mendarat di Lapangan Terbang Melbourne Avalon pagi semalam dan secara langsung melancarkan perkhidmatan penerbangan antarabangsa pertama ke dan dari lapangan terbang kedua daerah Victoria di barat daya Melbourne. 

Dikendalikan oleh syarikat jarak jauh AirAsia, AirAsia X, penerbangan D7218 mendarat pada jam 8.20 pagi waktu tempatan dengan kapasiti penumpang sebanyak 80 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Malaysia Benyamin Ismail berkata, ketibaan penerbangan AirAsia X D7218 ke terminal tambang rendah canggih Lapangan Terbang Melbourne Avalon itu menandakan satu era baharu bagi para pelancong dan juga kumpulan AirAsia di Australia.

“Pendaratan sulung AirAsia di Melbourne Avalon adalah hasil perjanjian 10 tahun antara syarikat penerbangan Asia Tenggara tersebut dengan Lapangan Terbang Melbourne Avalon dan pelaburan sebanyak RM150 juta daripada kerajaan Australia dan Victoria bagi membangunkan infrastruktur sekitar bandar Geelong.

“Kemudahan yang telah dibina khas di Lapangan Terbang Melbourne Avalon hari ini, akan menjadi salah satu hab penting antarabangsa kami di luar Asia Tenggara.

“Menerusi perbincangan bersama dengan pihak pengurusan lapangan terbang, kerajaan dan pihak berkepentingan tempatan, kami telah berjaya mencapai kata sepakat menerusi perjanjian jangka panjang yang menawarkan kos operasi yang lebih rendah buat AirAsia, pertambahan ketibaan pelancong dan keuntungan bukan aeronautik Lapangan Terbang Melbourne Avalon,” katanya kepada wartawan Malaysia pada sidang akhbar di sini, semalam.

Jelas Benyamin lagi, Melbourne Tullamarine, pemindahan ke Lapangan Terbang Melbourne Avalon akan menyediakan tetamu Australia peluang untuk bercuti dengan tambang nilai yang hebat ke lebih daripada 130 destinasi dalam rangkaian AirAsia di Asia Tenggara, Timur Tengah dan Amerika Syarikat (Hawaii).

“Ini termasuk destinasi percutian kegemaran penduduk Australia seperti Indonesia, Thailand, Vietnam, China, India dan Jepun.

“Bagi tetamu Asia Tenggara kami, pemindahan ini akan menyediakan akses mudah ke bandar pesisir Geelong.

“Lapangan Terbang Melbourne Avalon sebenarnya lebih dekat dan akan menjadi lebih mudah dan berpatutan apabila mengambil kira faktor lebuh raya kurang trafik, kesesakan di lapangan terbang, tol jalan raya dan tempat letak kereta yang tersedia. 

“Kami berterima kasih kepada kerajaan Australia dan Victoria, keluarga Linfox dan masyarakat tempatan yang telah merealisasikan pemindahan operasi ini bagi para tetamu antarabangsa kami,” katanya.

Benyamin berkata, syarikat penerbangan tersebut menyasarkan kehadiran 500,000 penumpang setiap tahun melalui laluan ini.

“AirAsia akan mengendalikan sejumlah 28 penerbangan seminggu antara Kuala Lumpur dan Melbourne Avalon dan kami menyasarkan untuk meningkatkan faktor muatan kami dari 80 peratus (di lapangan terbang Melbourne Tullamarine) kepada 85 peratus melalui lapangan terbang baharu ini tahun depan,” katanya.

Tambah Benyamin lagi, syarikat penerbangan itu juga ingin terbang ke Avalon dari Bangkok, Thailand dan Bali, Indonesia dalam masa terdekat.

“Perjanjian jangka panjang menyediakan kos operasi yang lebih rendah untuk AirAsia akan meningkatkan jumlah penumpang,” jelas beliau.

Sebelum ini AirAsia terbang dari Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Tullamarine.

AirAsia X yang merupakan syarikat penerbangan pertama mendarat di lapangan terbang antarabangsa kedua Melbourne, Avalon itu menawarkan tambang promosi ke Avalon pada kadar serendah RM499 bermula semalam hingga 9 Disember 2018.