Anda di sini

AirAsia rasmi laluan baharu Kuching-Tawau

 Abdul Karim dan Christina bersama tetamu lain merakamkan kenangan pada majlis perasmian perkhidmatan laluan AirAsia dari Kuching ke Tawau semalam.
LALUAN BAHARU: Abdul Karim dan Christina bersama tetamu lain merakamkan kenangan pada majlis perasmian perkhidmatan laluan AirAsia dari Kuching ke Tawau semalam.

KUCHING: AirAsia semalam meraikan perkhidmatan laluan dari Kuching ke Tawau, menjadikannya satu-satunya syarikat penerbangan yang menghubungkan ibu negeri Sarawak ke bandar ketiga terbesar di Sabah.

Penerbangan empat kali seminggu tersebut berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada jam 10.50 pagi dan dinaiki oleh Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah serta Pengarah Perhubungan Kerajaan AirAsia Zamani Rafique dan pegawai-pegawai lain.

Setibanya di Lapangan Terbang Tawau pada jam 12.45 tengah hari, pesawat tersebut disambut dengan pancuran air dan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat berkata, pihaknya berbesar hati untuk merasmikan perkhidmatan baharu dari Kuching ke Tawau semalam yang merupakan sebahagian daripada komitmen mereka untuk meningkatkan rangkaian di Malaysia Timur.

“Sehingga kini, kami telah menerbangkan lebih 3.8 juta orang tetamu ke dan dari Kuching serta 1.1 juta orang tetamu ke dan dari Tawau, yang menyaksikan peningkatan sebanyak 19 peratus dan 30 peratus dari tahun lepas dan kami jangka angka ini akan terus meningkat dengan laluan baharu ini,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Menteri Pengangkutan kerana meluluskan laluan ini dan laluan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) AirAsia yang akan datang dengan kekerapan dua kali setiap hari iaitu Kota Kinabalu-Sibu dan Kota Kinabalu-Bintulu yang boleh ditempah mulai hari ini (semalam) dan bakal beroperasi pada 1 Januari 2019.

“Kami menjangkakan laluan baharu ini terus menyumbang kepada ketibaan pelancong di Malaysia Timur. Malah, kami juga ingin merakamkan penghargaan kepada kedua-dua kerajaan negeri Sabah dan Sarawak dan lembaga pelancongan atas sokongan mereka dan kami berharap dapat bekerjasama dengan mereka untuk membangunkan semua destinasi ini untuk menjadi tempat pelancongan yang bernilai tinggi,” katanya.

Sementara itu Christina berkata, penerbangan AirAsia Kuching-Tawau merupakan usaha yang baik selari dengan usaha kementerian untuk mempromosikan sektor pelancongan di Pantai Timur Sabah khususnya Sandakan dan Tawau.

“Kami sedang dalam proses untuk memanfaatkan potensi Tawau sebagai satu lagi destinasi percutian utama bagi pelancong domestik dan asing melalui 30 pakej pelancongan yang dilancarkan awal tahun ini,” katanya.

Untuk meraikan perkhidmatan baharu ini, AirAsia menawarkan tambang istimewa daripada serendah RM49 sama ada dari Kuching atau Tawau.

Tambang promosi ini tersedia untuk tempahan di airasia.com dan aplikasi mudah alih AirAsia dari sekarang hingga 15 Disember 2018 untuk perjalanan segera hingga 16 Disember 2019.

AirAsia juga menawarkan tempat duduk percuma untuk laluan Kota Kinabalu-Sibu dan Kota Kinabalu-Bintulu.

Promosi ini tersedia untuk tempahan di airasia.com dan aplikasi mudah alih AirAsia dari sekarang hingga 16 Disember 2018 untuk perjalanan antara 1 Januari 2019 dan 4 Februari 2020.

AirAsia Malaysia (kod penerbangan AK) kini terbang ke 12 destinasi dari Kuching - Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Kota Bharu, Johor Bahru, Bintulu, Pulau Pinang, Sibu, Tawau, Miri, Shenzhen, Pontianak dan Singapura.

Syarikat penerbangan ini juga terbang dari Tawau ke Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Johor Bahru dan Kuching.