Anda di sini

79 mahasiswa ANSOS UNIMAS ‘pulek likou’

Advertisement
 Rombongan mendengar taklimat mengenai Sapan Puloh daripada pengusaha muzium mini Tommy Black.
TAKLIMAT: Rombongan mendengar taklimat mengenai Sapan Puloh daripada pengusaha muzium mini Tommy Black.

SERAMAI 79 mahasiswa tahun dua jurusan Antropologi dan Sosiologi (ANSOS) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menyertai program Kembara Siswa-Siswi ANSOS di Kampung Tellian Tengah dan Kampung Tellian Ulu, Mukah.

Program diadakan dari 23 sehingga 26 November 2018 ini turut diiringi tiga pensyarah dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) iaitu Dr Juna Liau, Dr Haslina Hashim dan Dr Farah Zaini.

Program yang julung kali diadakan ini membawa tema ‘Bah, Pulek Likou!’ yang bermaksud ‘Jom, Balik Kampung!’ dalam dialek Melanau Mukah.

Program sepanjang empat hari tiga malam ini dikelolakan para pelajar ANSOS sendiri dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tellian Tengah, Jabatan Pengairan dan Saliran Bahagian Mukah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Bahagian Mukah, Muzium Sapan Puloh serta Kelab Tujunokala.

 Majlis pelaksana Program Kembara Siswa-Siswi ANSOS pada malam kebudayaan.
PELAKSANA: Majlis pelaksana Program Kembara Siswa-Siswi ANSOS pada malam kebudayaan.

Sepanjang program berlangsung, para pelajar mendapat peluang untuk tinggal bersama keluarga angkat masing-masing dan jalinan kekeluargaan ini dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara penduduk setempat dan para pelajar.

Majlis penyerahan keluarga angkat yang diadakan pada hari pertama program telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri N.57 Tellian Yussibnosh Balo dan mendapat kerjasama baik daripada keluarga yang mengambil bahagian.

Pengarah program, Shearilin Win Plawun berkata, objektif program ialah untuk memberi peluang kepada mahasiswa ANSOS yang rata-ratanya berasal dari Semenanjung Malaysia untuk menelusuri dan merasai sendiri adat budaya dan gaya hidup masyarakat Melanau Mukah.

Selain itu, program ini juga memupuk jati diri dan semangat kecintaan terhadap budaya tradisi masyarakat peribumi itu sendiri serta pengalaman rutin kehidupan seharian penduduk melalui pengisian program.  

“Secara tidak lansung pengalaman sebegini mengajak mahasiswa ANSOS mengenali adat budaya masyarakat Melanau Mukah serta mendidik mereka akan sifat kemanusiaan dan saling menghormati budaya.

 Para peserta program gambar kenangan sebelum siswa-siswi berangkat pulang ke UNIMAS.
KENANGAN: Para peserta program gambar kenangan sebelum siswa-siswi berangkat pulang ke UNIMAS.

“Apa yang penting ialah objektif program kita untuk memberi peluang kepada mereka yang bukan daripada masyarakat Melanau, mahasiswa dari tanah Semenanjung terutamanya, merasai pengalaman baharu yang tidak ternilai telah dicapai dengan jayanya,” kata Shearilin.

Program ini telah diisi dengan pelbagai aktiviti seperti ceramah dan demonstrasi daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Bahagian Mukah dan Jabatan Pengairan dan Saliran Bahagian Mukah, lawatan ke Muzium Mini Sapan Puloh dan Tapak Pesta Kaul.

Aktiviti lain yang turut diadakan ialah sukan rakyat, demonstrasi masakan tradisional kaum Melanau, malam kebudayaan serta aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan kampung serta melukis mural.

Ketika ucapan majlis penutupan program, wakil Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bonaventure Juana berharap program seumpama ini akan dilakukan secara berterusan di Kampung Tellian pada masa akan datang dengan melibatkan lebih ramai mahasiswa dan juga keluarga angkat.

Beliau juga berharap siswa-siswi UNIMAS tidak terputus hubungan dengan keluarga angkat masing-masing.

Program Kembara Siswa-Siswi ANSOS telah diakhiri dengan gimik penyerahan ‘Pokok ANSOS’ kepada penghulu kampung, Lai Mayer.

Pokok ini menjadi simbolik terjalinnya hubungan antara pelajar ANSOS UNIMAS dan penduduk Kampung Tellian Tengah dan Kampung Tellian Ulu dengan harapan hubungan kekeluargaan akan berkekalan.

  • oleh
  • Advertisement