Anda di sini

Tiga terkorban dalam letupan

Advertisement
 Operasi mencari dan menyelamat mangsa masih dijalankan sehingga malam tadi untuk memastikan tiada lagi mangsa yang terperangkap.
BERTUNGKUS-LUMUS: Operasi mencari dan menyelamat mangsa masih dijalankan sehingga malam tadi untuk memastikan tiada lagi mangsa yang terperangkap.

KUCHING: Persiapan terakhir sebuah restoran di pusat beli-belah CityONE di Jalan Song di sini bertukar tragedi apabila tiga lelaki termasuk dua pekerjanya terkorban selepas berlaku letupan sekitar jam 3.30 petang semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Khirudin Drahman berkata, pihak restoran bersama syarikat penyelenggaraan sedang melakukan pemeriksaan di premis tersebut yang dijadualkan mula beroperasi hari ini.

 Seorang daripada mangsa yang terperangkap berjaya diselamatkan.
CEDERA: Seorang daripada mangsa yang terperangkap berjaya diselamatkan.

Menurutnya, berlaku letupan yang mengakibatkan dinding premis tersebut runtuh sehingga menghempap 28 orang iaitu 23 lelaki dan 5 wanita terdiri daripada pekerja restoran serta pelanggan pusat beli-belah tersebut.

"Kita difahamkan restoran ini akan mula beroperasi esok (hari ini) dan kerja-kerja ‘final touch’ (sentuhan terakhir) dilakukan hari ini (semalam) selain juga untuk menguji peralatan mereka yang akan digunakan nanti," katanya ketika ditemui pemberita semalam.

Khirudin berkata, apabila pihaknya tiba di lokasi kejadian, didapati beberapa mangsa yang mengalami kecederaan telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam dan menunggu ketibaan anggota penyelamat di luar pusat beli-belah tersebut.

 Kelihatan keadaan berselerak selepas letupan kuat.
DAHSYAT: Kelihatan keadaan berselerak selepas letupan kuat.

"Maklumat awal yang kita perolehi ialah lima lagi mangsa masih terperangkap di dalam timbunan dinding tersebut, tetapi hasil pencarian kita berjaya menemui enam mangsa dan tiga daripadanya telah meninggal dunia.

"Manakala, tiga lagi mangsa mengalami kecederaan parah dan seterusnya dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya.

Kira-kira 10 ambulans dari HUS, Emergency Medical Rescue Services (EMRS) Bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) digunakan untuk membawa kesemua mangsa yang mengalami kecederaan ke hospital.

 Kesemua mangsa yang diselamatkan orang awam dikumpulkan di luar pusat beli-belah tersebut.
DISELAMAT: Kesemua mangsa yang diselamatkan orang awam dikumpulkan di luar pusat beli-belah tersebut.

Mayat ketiga-tiga mangsa dikenali sebagai O Kui Lim berusia 51 tahun dari Batu Kawa, Tchee Kiam Jong, 24, dari BDC Stutong dan Chin Hsien Loong, 29, dari Pulau Pinang telah diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Ketika ditanya mengenai punca kejadian, Khirudin tidak menolak ia mungkin berpunca daripada kebocoran gas.

Jelasnya, siasatan lanjut akan dijalankan oleh pihak Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan serta pihak berwajib.

Sementara itu, seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Benny, 40-an, semasa kejadian berkata, kira-kira 20 orang berada berdekatan dengannya sebelum mereka dikejutkan dengan bunyi letupan yang kuat.

"Ketika kejadian, kami sedang bekerja apabila tiba-tiba berlaku letupan dan dinding serta siling di dalam terus runtuh.

"Kejadian berlaku terlalu pantas, saya cuma ingat itu sahaja sehingga saya diselamatkan," katanya.

Operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan di lokasi kejadian sehingga berita ini ditulis semalam untuk memastikan tiada lagi mangsa yang terperangkap.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan Wong King Wei semasa hadir di lokasi kejadian berkata, beliau beliau akan memaklumkan insiden itu kepada Kementerian Sumber Manusia.

Ia katanya, bagi membolehkan kementerian itu mengkaji semula langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil oleh pekerja binaan khasnya ketika melakukan kerja-kerja di lapangan.

"Saya akan membawa perkara ini kepada Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran agar ia dapat dilihat secara teliti daripada segi langkah-langkah pencegahan dan aspek keselamatan tidak hanya kepada pekerja binaan tetapi semua pekerja ketika melakukan kerja-kerja di lapangan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, pihak pengurusan CityOne dalam satu kenyataan memberitahu, pusat beli-belah itu ditutup serta-merta sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

  • oleh
  • Advertisement