Anda di sini

Tiada elemen militan dalam letupan CityONE

Dzuraidi ketika ditemui pemberita di CityONE hari ini.

KUCHING: Insiden letupan di pusat beli-belah CityONE tiada unsur jenayah atau militan, kata Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim.

Beliau yang melawat lokasi kejadian sekitar 11.30 pagi hari ini memberitahu siasatan setakat ini mendapati insiden tersebut belaku disebabkan kemalangan.

“Siasatan telah dijalankan dan kita dapati insiden letupan yang berlaku semalam tiada elemen atau unsur-unsur jenayah.

“Bagitu juga di pihak risikan turut mendapati tiada elemen-elemen militan,” katanya kepada pemberita.

Tambahnya, kematian tiga lelaki dalam insiden tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

“Setakat ini kes masih disiasat sebagai SDR dan prosedur bedah siasat terhadap dua daripada tiga mangsa yang maut telah selesai dilaksanakan,” katanya lagi.

Tiga mangsa yang terkorban ialah O Kui Lim, 49 dan Tchee Kiom Joong, 25, masing-masing dari Kuching, serta seorang lelaki dari Pulau Pinang, Chin Hsien Loong, 29 tahun.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Khirudin Drahman mengesahkan tiada lagi mangsa yang terperangkap.

Menurutnya, siasatan awal pasukan Forensik Bomba mengesahkan letupan berpunca daripada kebocoran gas.

“Pagi ini kita bawa Unit Anjing Pengesan (K9) dan tiada unsur lain selain daripada jangkaan asal kita mengenai kebocoran gas.

“Sampel gas itu kita ambil dari punca, di mana terdapat tangki di bawah (tempat kejadian) tadi dan ia akan dianalisis di makmal kita untuk pengesahan seterusnya.

“Bagaimanapun, daripada pattern (corak) letupan dan rakaman camera litar tertutup (CCTV) serta kecederaan mangsa, kita dapati ia memang selari,” jelas Khirudin.